Filem aksi thriller "Khaali Peeli" arahan Maqbool Khan akan menggandingkan dua aktor muda iaitu Ishaan Khatter dan Ananya Pandey buat pertama kali di layar perak.

Menurut sumber dari laporan Times of India, kedua-dua aktor itu tiada masalah untuk mencipta keserasian untuk berlakon, malah banyak meluangkan masa bersama di set penggambaran.

"Ishaan dan Ananya sangat profesional dalam kerja mereka dan sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan filem terbaru mereka ini akan mendapat sambutan memberangsangkan.

"Kedua-dua mereka berkongsi hubungan persahabatan yang dilihat akrab termasuk di hadapan kamera. Keserasian mereka amat luar biasa," tambah sumber itu lagi.

Sehubungan dengan itu, sumber tersebut turut menafikan spekulasi yang mengatakan kedua-dua mereka menimbulkan masalah kepada pihak produksi apabila salah seorang daripada mereka lambat tiba di set penggambaran.

"Mereka tak pernah sampai lewat. Terdapat pihak tak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu tentang perkara itu. Seperti yang saya beritahu, mereka sangat fokus dan profesional dalam kerja," katanya.

Buat pengetahuan lanjut, "Khaali Peeli" merupakan sebuah 'remake' versi Hindi kepada filem Telugu "Taxiwala" (2018) arahan Rahul Sankrityan yang diterajui Vijay Devarakonda dan Priyanka Jawalkar.

Selain Ishaan dan Ananya, filem itu turut menampilkan pelakon lain seperti Jaideep Ahlawat, Satish Kaushik dan Deshna Duggad.

Diterbitkan oleh Ali Abbas Zafar dengan kerjasama Himanshu Mehra, "Khaali Peeli" akan ditayangkan di pawagam pada 12 Jun 2020.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Ishaan Khatter & Ananya Panday Instagram)