Bakal tampil dalam filem terbarunya "Mimi", aktres Kriti Sanon meluahkan perasaan gembira apabila lakonannya semakin dipandang dan dihargai oleh para penonton.

"Filem "Bareilly Ki Barfi" telah mengubah kehidupan saya. Orang ramai mula memandang saya sebagai aktor dengan serius, dan mereka menghargai persembahan saya. Ia sesuatu yang besar buat saya.

"Saya tidak rasa yang saya terlalu mendedahkan diri. Sebagai seorang aktor, anda dipertanggungjawabkan untuk memberi persembahan. Anda perlu lakukan sebanyak mana kerja yang anda mampu.

"Namun ia tidak bermakna anda perlu lakukan semuanya hanya kerana anda mempunyai banyak masa terluang. Saya dah pernah hadapi perkara ini dan hasilnya tidak memuaskan," katanya yang dipetik dari DNA India.

Berbalik kepada filem "Mimi", Kriti memberitahu dia perlu menambah berat badannya sebanyak 15kg demi menjayakan watak seorang ibu tumpang bernama Bharti Dadheech.

Walaupun perkara itu menjadi salah satu cabaran buatnya, namun Kriti berkata dia bersedia untuk memberikan persembahan terbaik buat kepuasan para penonton.

Selain Kriti, filem arahan Laxman Utekar itu turut menampilkan aktor lain seperti Pankaj Tripathi, Sai Tamhankar, Manoj Pahwa dan Supriya Pathak.

Diterbitkan oleh Dinesh Vijan, "Mimi" akan ditayangkan di pawagam pada 17 Julai 2020.

(Sumber: DNA India)
(Sumber foto: WWD)