Selepas menjayakan filem sukan "Jersey", aktor Shahid Kapoor dilaporkan telah menandatangi sebuah projek filem aksi berunsurkan patriotik yang bakal memulakan produksi pada sekitar tahun ini.

"Ia mempunyai tema patriotik dan akan digarap oleh pengarah baru. Shahid merupakan peminat genre aksi dan sangat teruja untuk terlibat dalam filem ini. Untuk wataknya, Shahid perlu membina badan supaya kelihatan lebih tegap.

"Jadi persiapannya akan dijalankan beberapa bulan sebelum penggambaran yang dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini. Ia kini berada dalam proses pra-produksi," dedah satu sumber dari Mumbai Mirror.

Sehubungan dengan itu, Shahid akan kembali bekerjasama dengan pembikin filem Karan Johar yang bertindak sebagai penerbit, selepas lima tahun sejak filem "Shaandaar".

Walau bagaimanapun, filem yang padat dengan babak aksi itu masih belum diberi judul dan pihak produksi bakal mengumumkan nama pengarah dan barisan pelakon tidak lama lagi.

Berbalik kepada filem "Jersey", Shahid akan melakonkan watak seorang bekas atlet kriket bernama Sudanshu Bhardwaj yang ingin kembali bermain dalam pasukan kriket Indian.

Turut menampilkan Mrunal Thakur dan Pankaj Kapur, filem arahan Gowtham Tinnanuri itu bakal menemui penonton di pawagam pada 28 Ogos 2020.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Filmfare)