Berbekalkan pengalaman sebagai penyanyi opera, aktres Tara Sutaria memberitahu dia ingin memperkembangkan lagi cabang kariernya dengan perancangan untuk menceburi bidang nyanyian.

"Sudah lama saya ingin menjadi penyanyi dan saya gembira kerana berpeluang untuk berlakon juga. Saya harap dalam tempoh beberapa tahun lagi, saya dapat menyanyi dalam filem-filem saya.

"Mungkin juga jika berkesempatan, saya ingin duduk di bangku pengarah," katanya yang dipetik dari laporan Mumbai Mirror.

Dalam pada itu, bintang filem "Student of The Year 2" tersebut menyatakan dia ingin mencipta perwatakan baru dalam setiap filem yang diterajuinya.

"Banyak watak yang saya ingin cuba, ianya tak terkira dan watak saya dalam filem yang seterusnya juga sesuatu yang tak ramai orang jangka saya akan lakukan," tambahnya lagi.

Beralih ke perkembangan baru, Tara bakal membintangi sebuah filem aksi romantik arahan Milan Luthria berjudul "Tadap", iaitu sebuah 'remake' kepada filem Telugu "RX 100" (2018).

Menurutnya, sesi penggambaran bagi filem itu baru sahaja selesai dijalankan di Mussoorie dan Tara akan digandingkan bersama anak aktor terkenal Suniel Shetty, Ahan.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Tara Sutaria Instagram)