Sebelum ini aktres Kriti Sanon disahkan untuk membintangi filem tentang ibu tumpang iaitu "Mimi", kini aktor Rajkummar Rao juga dilaporkan bakal membintangi filem yang mengetengahkan perkara itu.

Menurut laporan dari Deccan Chronicle, projek filem yang masih belum diberi judul itu dikatakan sedang berada dalam proses pra-produksi, yang mana ia akan digarap oleh pengarah dan penulis Raaj Shaandilyaa.

"Raaj Shaandilyaa, yang baru-baru ini menjayakan "Dream Girl" bersama Ayushmann Khurrana, merancang untuk membikin sebuah filem tentang bapa tumpang.

"Memandangkan topik itu berkait rapat dengan apa yang ditonjolkan oleh Ayushmann dalam filem "Vicky Donor" beberapa tahun lalu, Raaj tidak memilih Ayushmann dan sebaliknya memilih Raj," dedah satu sumber.

Walau bagaimanapun, tiada butiran lanjut yang diumumkan oleh pihak produksi mahupun pengarah itu sendiri buat masa ini.

Beralih ke perkembangan lain, baru-baru ini Raj dilihat membintangi filem romantik arahan Ramesh Sippy berjudul "Shimla Mirchi", yang mana dia digandingkan bersama aktres Rakul Preet Singh dan Hema Malini.

Selain itu, Raj juga bakal kembali dengan tiga lagi filem terbaru iaitu filem komedi seram "Roohi Afzana", "Ludo" arahan Anurag Basu dan sebuah filem komedi gelap terbitan kerjasama Ajay Devgn, Luv Ranjan dan Bhushan Kumar, "Chhalaang".

(Sumber: Deccan Chronicle)
(Sumber foto: Rajkummar Rao Instagram)