Penerbit dan aktor terkenal John Abraham bakal membuat debut dalam menerbitkan filem biopik yang akan menceritakan kehidupan usahawan sosial berjaya, Revathi Roy.

Buat pengetahuan umum, Revathi merupakan wanita pertama di Asia yang melancarkan servis teksi wanita Hey Deedee dan servis penghantaran wanita.

"Saya sangat gembira kerana kami berpeluang untuk menerbitkan filem ini yang menggabungkan kisah usahawan dan kehidupan peribadi yang dramatik.

"Perjalanan hidup Revathi menunjukkan seorang wanita bersemangat tinggi yang sanggup berdepan apa sahaja demi memperkasakan wanita yang kurang bernasib baik," kata John yang dipetik dari Times of India.

Kisah yang banyak memberi inspirasi kepada golongan wanita itu akan diadaptasi dari buku nukilan Swati Lodha berjudul "Who is Revathi Roy", dan bakal diarahkan oleh Robbie Grewal.

Sehubungan dengan itu, filem itu diterbitkan di bawah syarikat produksi John, JA Entertainment, dengan kerjasama produksi Robbie, Red Ice Films, serta produksi Anil Bohra, Vyka Entertainment.

Kali pertama John menceburi bidang penerbitan adalah pada 2012 menerusi filem "Vicky Donor" lakonan Ayushmann Khurrana, yang tercalon dalam Anugerah Filem Terbaik Filmfare.

Dalam perkembangan lain, John yang kali terakhir dilihat di layar perak menerusi filem "Pagalpanti", bakal kembali dalam tiga buah filem aksi terbaru iaitu "Mumbai Saga", "Attack" dan "Satyameva Jayate 2".

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Malayalam Fun & Forbes India)