Walaupun namanya kini dikenali di persada Hollywood sejak membintangi filem "xXx: Return of Xander Cage", namun itu tidak membuatkan aktres Deepika Padukone terus terkejar-kejar projek filem di sana.

Menurut laporan dari Hindustan Times, Deepika tidak memandang produksi sesebuah filem, sebaliknya dia menganggap filem adalah medium untuk dia mengekspresikan diri sendiri.

"Jika peluang itu boleh didapati di negara luar dari India seperti Amerika Syarikat atau di mana-mana pun, saya gembira untuk menerokainya. Namun apa yang penting bagi saya adalah kandungan filem itu.

"Saya melibatkan diri dalam 'xXx: Return of Xander Cage' kerana watak yang ditawarkan sangat kuat untuk dilakonkan. Saya sentiasa memandang watak dan peranan serta filem itu sendiri," jelasnya ringkas.

Dalam pada itu, Deepika turut menafikan bahawa dia ditawarkan untuk membintangi filem "Krishh 4" bersama Hrithik Roshan, namun berminat untuk berkolaborasi dengan aktor itu dalam projek yang akan datang.

Kali terakhir Deepika dilihat menerusi skrin lebar adalah menerusi filem "Chhapaak" arahan Meghna Gulza. Kutipan filem itu kini dianggarkan mencecah 55.44 Crore (lebih kurang RM330 juta).

Seterusnya, Deepika akan berkongsi skrin dengan suaminya yang juga aktor, Ranveer Singh, menerusi filem sukan kriket "83" arahan Kabir Khan.

Berbekalkan kos sebanyak RM50.4 juta, filem hasil terbitan kerjasama enam syarikat produksi itu bakal ditayangkan di pawagam bermula 10 April 2020.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Vogue India)