Kareena Kapoor Khan meluahkan rasa keterujaannya apabila berpeluang untuk berkongsi skrin dengan aktor berbakat Irrfan Khan menerusi filem terbaru mereka "Angrezi Medium".

"Sudah lama saya berkeinginan untuk bekerja dengan Irrfan, memandangkan saya pernah bekerja dengan 'Khan' yang lain. Sebelum ini saya memang tiada projek bersama dia jadi sebab itu saya tidak boleh lepaskan peluang ini.

"Irrfan adalah seorang aktor yang sangat profesional dan hebat. Dia membuatkan watak-watak yang lain ada di sekelilingnya menjadi penting dengan hanya berkongsi skrin. Lakonannya sangat bagus," ujar Kareena yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Menurut Kareena, salah satu sebab dia menerima tawaran untuk membintangi filem itu adalah kerana dia ingin menjayakan watak seorang pegawai polis yang tidak pernah dibawa dalam mana-mana filemnya sebelum ini.

Selain Irrfan, ini juga merupakan kali pertama Kareena digandingkan dengan aktres Dimple Kapadia dan menyifatkan ia sebagai salah satu pengalaman paling indah dalam kariernya.

"Angrezi Medium" berkisarkan tentang pengorbanan dan pengembaraan seorang pemilik kedai manisan yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menunaikan hasrat anaknya yang ingin menyambung pengajian di London.

Diarahkan oleh Homi Adajania dibawah terbitan Dinesh Vijan dan Jyoti Deshpande, "Angrezi Medium" bakal ditayangkan di pawagam bermula 13 Mac ini!

Beralih ke perkembangan lain, Kareena kini sedang terlibat dengan penggambaran filem komedi "Laal Singh Chaddha" bersama seorang lagi 'Khan' iaitu Aamir Khan, yang turut bertindak sebagai penerbit filem itu.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Kareena Kapoor Khan Instagram)