CLOSE
CLOSE AD

Filem-filem Bollywood Yang Pilih Malaysia Sebagai Lokasi Penggambaran

  • 17 Apr 2020
Filem-filem-Bollywood-Yang-Pilih-Malaysia-Sebagai-Lokasi-Penggambaran

Filem Bollywood atau Hindustan sememangnya sinonim dengan rakyat di Malaysia, dan boleh dikatakan era 90an merupakan zaman kegemilangan apabila hampir kesemua filem yang ditayangkan di Malaysia menjadi fenomena.

Filem ikonik seperti "Kuch Kuch Hota Hai", "Dil To Pagal Hai", "Kabhi Khushi Kabhie Gham" dan "Kal Ho Naa Ho" merupakan antara sebilangan kecil filem yang sehingga kini masih mendapat tempat di hati penonton.

Perkara ini turut mendapat perhatian daripada pembikin-pembikin filem di Bollywood dan ia telah membuka mata mereka terhadap keindahan negara Malaysia, sekaligus menjadikan negara ini sebagai pilihan mereka untuk melakukan penggambaran filem.

Jadi untuk artikel kali ini, kami ingin menyingkap beberapa buah filem Bollywood yang pernah menjalani penggambaran di Malaysia, jadi jom baca!

"Don" (2006)

Salah satu babak membabitkan Shah Rukh Khan dan Kareena Kapoor
berlatarbelakangkan menara berkembar KLCC.

Pada tahun 2006, bintang Bollywood terkenal Shah Rukh Khan (SRK) telah menjalani penggambaran filem "Don" di Malaysia dan ini telah mencetuskan keterujaan peminat di Malaysia yang tidak menyangka negara kita dipilih menjadi lokasi penggambaran utama filem itu.

Filem arahan Farhan Akhtar itu memulakan penggambaran pada April 2006 dengan lebih 80 peratus berlangsung di sekitar Kuala Lumpur dan Langkawi. Dalam filem itu, Shah Rukh Khan membawa dua watak, iaitu sebagai Don dan Vijay. "Don" turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat lain seperti Priyanka Chopra, Arjun Rampal, Boman Irani dan Isha Koppikar.

"Don 2" (2011)

Salah satu babak dengan Shah Rukh Khan ketika berada dalam penjara di Melaka.

Selepas filem pertama berjaya meraih kutipan pecah panggung di seluruh dunia, pengarah Farhan Akhtar kembali dengan sekuel "Don 2" yang ditayangkan lima tahun kemudian, iaitu pada tahun 2011. Walaupun penggambaran filem kedua kurang 50 peratus penggambaran yang dibuat di Malaysia, tetapi lokasinya penggambaran di Malaysia bertambah.

Penggambaran filem "Don 2" masih mengekalkan Kuala Lumpur dan Langkawi sebagai lokasi utama mereka dengan tambahan negeri Melaka, atau lebih tepat lagi penjara di Melaka. Dalam sekuel ini, pengarah sekali lagi menampilkan Shah Rukh Khan yang membawa dua watak, Priyanka Chopra, Boman Irani, Lara Dutta, Kunal Kapoor, Om Puri dan ramai lagi.

"One 2 Ka 4" (2001)

Babak dalam lagu "Haye Dil Ki Bazi Laga" untuk filem "One 2 Ka 4"
yang dibuat disekitar KLCC dan Bukit Bintang.

Sebelum filem "Don" dan "Don 2", Shah Rukh Khan (SRK) juga pernah terlibat dengan filem "One 2 Ka 4" yang melakukan penggambaran di Malaysia, jadi tidak hairan apabila bintang terkenal Bollywood itu mendapat anugerah gelaran Datuk pada tahun 2008. Berbalik pada filem "One 2 Ka 4", ia berkisarkan mengenai ACP Arun Verma yang cuba mencari pembunuh yang telah membunuh rakan setugasnya iaitu Javed Abbas ketika sedang melakukan operasi. Bagaimanapun, siasatannya terganggu apabila mendapat tahu dirinya telah diamanahkan oleh Javed untuk menjaga empat anaknya sekiranya perkara tidak diingin berlaku kepadanya.

Filem arahan Shashilal K. Nair ini mempunyai beberapa plot yang diinspirasikan dari filem "One Good Cop" pada tahun 1991. Untuk filem ini, beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur menjadi pilihan, antaranya KLCC, Bukit Bintang, dan beberapa lagi. Selain SRK, filem ini turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Juhi Chawla, Jackie Shroff, Nirmal Pandey, Dilip Joshi, Raj Zutshi dan ramai lagi.

"Yaadein" (2001)

Salah satu babak yang memaparkan Hrithik Roshan dan Kareena Kapoor di
Dataran Lang yang mana ia turut memperlihatkan bendera Malaysia.

Filem ini membuatkan penulis mengimbau semula zaman kecil penulis yang pernah menonton filem "Yaadein" pada tahun 2001. Walaupun tidak 'minat' sangat dengan filem Bollywood ketika itu, tetapi tengok juga apabila mendapat tahu ia memaparkan babak di Malaysia. Filem arahan Subhash Ghai ini adalah sebuah naskhah yang diinspirasikan dari "Pride and Prejudice" Jane Austen. Seperti filem-filem Bollywood lain, naskhah ini berkisarkan mengenai cinta yang penuh dengan konflik.

Antara babak paling diingati adalah babak watak utama yang diterajui oleh Hrithik Roshan menyertai pertanding berbasikal Le Tour de Langkawi. Seperti yang anda tahu, Pulau Langkawi merupakan pulau yang cukup terkenal di seluruh dunia, jadi tidak hairan banyak pembikin filem dari luar negara sering memilih Pulau Langkawi sebagai lokasi penggambaran.

Dalam filem ini, anda akan dapat melihat dua lokasi digunakan iaitu Dataran Lang dan Langkawi Yacht Club. Selain Hrithik, "Yaadein" turut dibintangi bintang terkenal seperti Kareena Kapoor, Jackie Shroff, Kiran Rathod, Rati Agnihotri, Supriya Karnik dan ramai lagi.

"Humraaz" (2002)

Babak berlatarbelakangkan KLCC dalam lagu "Dil Ne Kar Liya Aitbaar".

Filem "Humraaz" ini adalah sebuah naskhah 'remake' dari filem Tamil berjudul "Girivalam". Ia berkisarkan mengenai seorang ahli perniagaan yang membuat perancangan membunuh isterinya bersama bekas kekasih isterinya selepas mendapat tahu wanita itu berkahwin dengannya hanya kerana wang.

Diarahkan oleh Abbas dan Mustan, mereka telah memilih beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur seperti KLCC dan Planet Hollywood KL sebagai lokasi penggambaran. Jika anda lihat, lokasi KLCC merupakan lokasi wajib untuk mana-mana produksi luar negara yang buat penggambaran di Malaysia. Ia merupakan lokasi ikonik yang dikenali di seluruh dunia, kan?

Filem ini dibintangi pelakon Bobby Deol, Akshaye Khanna, Ameesha Patel, Johnny Lever, Sheela Sharma, Suhasini Mulay dan ramai lagi.

Jadi jika anda bosan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apa kata anda tonton filem-filem ini bersama keluarga!



Suggested Articles

Filem-filem-Bollywood-paling-Hot-Lakonan-Sunny-Leone Bolly Lah
ARTICLE
  • 05 Jun 2020

Filem-filem Bollywood paling 'Hot' Lakonan Sunny Leone

Sunny Leone terkenal dengan filem-filem bergenre dewasa yang dibintanginya.

Kartik-Aaryan-Atau-Ranveer-Singh-Yang-Akan-Terajui-Remake-Ala-Vaikunthapurramuloo Bolly Lah
ARTICLE
  • 05 Jun 2020

Kartik Aaryan Atau Ranveer Singh Yang Akan Terajui 'Remake' "Ala Vaikunthapurramuloo"?

Pembikin filem ini masih belum membuat keputusan mereka.

Karan-Johar-Ingin-Jemput-Vicky-Kaushal-Dan-Katrina-Kaif-Dalam-Koffee-With-Karan Bolly Lah
ARTICLE
  • 05 Jun 2020

Karan Johar Ingin Jemput Vicky Kaushal Dan Katrina Kaif Dalam Koffee With Karan

Mereka akan tampil dalam musim baru program bual bicara tersebut.

Kiara-Advani-Kembali-Kongsi-Skrin-Dengan-Mahesh-Babu-Dalam-Sarkaru-Vaari-Paata Bolly Lah
ARTICLE
  • 05 Jun 2020

Kiara Advani Kembali Kongsi Skrin Dengan Mahesh Babu Dalam "Sarkaru Vaari Paata"

Pembikin filem merasakan Kiara aktres paling sesuai untuk filem itu.

Radhe-Your-Most-Wanted-Bhai-Tampilkan-Lima-Lagu Bolly Lah
ARTICLE
  • 05 Jun 2020

"Radhe: Your Most Wanted Bhai" Tampilkan Lima Lagu

Dua buah lagu daripada runut bunyi itu telah digubah oleh komposer duo terkenal Sajid-Wajid.

Pengarah-Filem-Don-Dedah-Tiga-Aktor-Pilihannya-Sebelum-Amitabh-Bachchan Bolly Lah
ARTICLE
  • 05 Jun 2020

Pengarah Filem "Don" Dedah Tiga Aktor Pilihannya Sebelum Amitabh Bachchan

Ketiga-tiga aktor itu tidak berminat untuk membintangi filem tersebut.