CLOSE
CLOSE AD

Deepika Padukone Tangguh Bual Bicara Dengan Ketua Pengarah WHO

  • 24 Apr 2020
Deepika-Padukone-Tangguh-Bual-Bicara-Dengan-Ketua-Pengarah-WHO

Aktres terkenal Deepika Padukone membuat keputusan untuk menangguhkan bual bicara bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengenai kesihatan mental ketika krisis pandemik COVID-19 di Instagram.

Menurut laporan dari Times of India, para peminat Deepika tidak bersetuju dengan program itu susulan tindakan Dr. Tedros menyokong kerajaan negara China apabila mereka menyatakan virus COVID-19 tidak disebarkan melalui manusia.

Deepika telah memuat naik penyataan di Instagram Story mengenai penangguhan bual bicara yang sepatutnya dilangsungkan pada 23 April menerusi Instagram Live bersama Dr. Tedros.

"Hai semua, saya harap anda semua berada dalam keadaan selamat dan kekal berada di rumah!

"Dukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa bual bicara antara saya dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengenai 'Kepentingan kesihatan mental ketika pandemik' yang dijadualkan pada 23 April 2020 telah ditangguhkan sehingga diberitahu atas sebab-sebab yang tidak dijangka dan tidak dapat dielakkan.

"Walau bagaimanapun, kesihatan mental adalah aspek penting ketika pandemik ini; sesuatu yang saya harap kita utamakan dan terapkan dalam tempoh yang menguji ini dan masa-masa akan datang," tulisnya.

Seperti yang diketahui umum, Deepika sememangnya terkenal dengan usahanya dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan kesihatan mental berdasarkan pengalamannya sendiri beberapa tahun lalu.

Malah, Deepika turut mengasaskan Pertubuhan Live Love Laugh pada 2015 untuk mengendalikan isu-isu yang berkait dengan kesihatan mental. Pertubuhan itu turut menganjurkan beberapa projek dan program di India.

Beralih ke perkembangan lakonan, Deepika bakal membintangi beberapa buah filem baru termasuk filem sukan "'83" bersama suaminya yang juga aktor Ranveer Singh dan 'remake' filem Hollywood "The Intern" versi Hindi.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Deepika Padukone Instagram)