CLOSE
CLOSE AD

Salman Khan Dedahkan Peneraju Utama "Bulbul Marriage Hall"

  • 04 May 2020
Salman-Khan-Dedahkan-Peneraju-Utama-Bulbul-Marriage-Hall

Selepas mengumumkan filem baru terbitannya yang diberi judul "Bulbul Marriage Hall" tahun lalu, kini bintang ternama Salman Khan sedia mengumumkan barisan peneraju utama filem itu.

Filem yang bakal diarahkan oleh Rohit Nayyar itu berlatarbelakangkan majlis perkahwinan India di Lucknow. Ia akan menampilkan dua pasangan pelakon iaitu Pulkit Samrat dan Kriti Kharbanda, serta Sunil Grover dan Daisy Shah.

"Salman yang mencadangkan Sunil memandangkan mereka pernah bekerjasama dalam filem "Bharat" baru-baru ini. Dia akan membawa watak sebagai abang kepada Pulkit dan mempunyai banyak adegan komedi.

"Dialognya pula ditulis oleh Raaj Shaandilyaa. Salman telah mengenali Raaj sejak dia menulis skrip program televisyen seperti Comedy Circus.

"Pihak produksi berpendapat dia boleh membawa citarasa tempatan dalam filem ini," dedah sumber dari Salman Khan Films (SKF) menerusi Mumbai Mirror.

Tambah sumber itu lagi, sesi penggambaran sepatutnya berlangsung pada April namun terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Berkurung dan pandemik COVID-19.

Pada asalnya, watak yang dipegang oleh Sunil sepatutnya dijayakan oleh aktor Ali Fazal, namun berikutan sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya bersama Richa Chadha, Ali terpaksa menarik diri.

Walau bagaimanapun, sumber masih belum mengetahui jika Salman akan membuat penampilan cameo dalam filem tersebut.

"Bulbul Marriage Hall" dijangka akan menemui penonton pada 2021.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Sunil Grover Twitter)