CLOSE
CLOSE AD

10 Filem Tak Laku Lakonan Akshay Kumar

  • 27 May 2020
10-Filem-Tak-Laku-Lakonan-Akshay-Kumar

Akshay Kumar merupakan salah seorang bintang filem berprofil tinggi yang paling berjaya dan terkenal di seluruh dunia, tambahan lagi dia pernah disenaraikan dalam carta aktor paling dibayar mahal majalah Forbes. Kejayaan Akshay akhirnya melayakkan dirinya untuk digelar 'Khiladi of Bollywood', susulan kebanyakan filem yang dibintanginya sering sahaja meraih kutipan pecah panggung.

Hampir tiga dekad berada dalam industri perfileman Bollywood, Akshay kini telah menjayakan lebih 100 buah filem dan meraih pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Filmfare dan Anugerah Filem Nasional. Memandangkan ia merupakan satu jumlah yang besar, pasti di sebalik kejayaannya terselit kegagalan.

Tahun 1990-an merupakan era yang kurang memuaskan bagi Akshay kerana filem-filem yang dibintanginya pada waktu itu gagal dan tidak laku di pawagam. Malah terdapat filemnya yang hanya ditayang selama dua minggu sahaja. Mungkin silapnya terletak kepada pembikin filem atau lakonan Akshay sendiri. Oleh itu, kali ini kami akan menyenaraikan sepuluh di antara filem-filem Akshay yang tidak laku sepanjang kariernya.

"Mr. Bond" (1992)

"Mr. Bond" adalah seorang pegawai polis yang jujur dan berdedikasi dalam pasukan polis Bombay. Dia telah ditugaskan untuk menyertai misi menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak yang menjadi mangsa penyeludupan manusia. Semua kanak-kanak itu telah diculik dan ditahan sebagai tebusan oleh ketua penjenayah bernama Dragon.

Percaya atau tidak filem ini telah dilabel sebagai salah satu filem Akshay yang paling teruk sepanjang kariernya! Filem arahan Raj N. Sippy ini menampilkan Akshay bersama Sheeba Akashdeep, Ruchika Pandey dan Pankaj Dheer. Menurut ulasan pengkritik, jalan cerita filem ini tiada hujung pangkal dan tidak masuk akal.

Bajet: Tidak dinyatakan
Jumlah kutipan: RM373.2 ribu

"Zulmi" (1999)

"Zulmi" mengisahkan Raj Malhotra yang ingin membalas dendam terhadap lelaki yang cuba merogol adiknya sehingga gadis itu trauma dan membunuh diri. Ketika cuba menyelamatkan seorang gadis daripada sekumpulan samseng, Raj diperhatikan oleh Balraj, yang kemudiannya mengupah Raj sebagai pengawal peribadi anaknya. Namun situasi menjadi rumit apabila mendapat tahu lelaki yang cuba merogol adiknya dahulu berada di bawah penjagaan majikannya.

Filem berbajet kecil arahan Kuku Kohli ini merupakan filem pertama yang menggandingkan Akshay bersama isterinya Twinkle Khanna. Sayangnya keserasian mereka tidak mampu untuk menyelamatkan filem ini di carta filem pada tahun tersebut dan kutipannya hanya melebihi sedikit daripada bajet yang dikeluarkan oleh pihak produksi untuk menghasilkan filem ini. Menurut pengkritik, separuh masa pertama filem ini sangat membosankan dan lakonan Akshay dilihat bergelut untuk menjayakan wataknya.

Bajet: RM2 juta
Jumlah kutipan: RM2.8 juta

"Aan: Men at Work" (2004)

Kadar kes jenayah yang semakin meningkat di bandar Mumbai, melibatkan tiga penjenayah utama iaitu Gautam Walia, Manik Rao dan Yusuf Pathan, menggesa Inspektor Vikram Singh bersama pasukan polisnya untuk bertindak. Anggota polis baru DCP Hari Om Patnaik terkejut apabila mendapati peraturan dan undang-undang di situ sudah bercampur aduk. Kini dia perlu mencari jalan untuk mengubah keadaan di situ.

Walaupun filem ini diterajui oleh aktor-aktor terkenal seperti Akshay Kumar, Jackie Shroff, Suniel Shetty, Raveena Tandon dan Irrfan Khan, namun perkara itu tidak menjanjikan tempat di carta filem terbaik 2004. Kekurangan pada filem ini terletak pada skrip, jalan cerita serta babak aksi yang dijayakan oleh para pelakon. Pengkritik filem Taran Adarsh berpendapat filem ini mampu pergi jauh jika skripnya ditulis dengan baik.

Bajet: RM8.6 juta
Jumlah kutipan: RM8.6 juta

"Jaan-E-Mann" (2006)

Sebuah kisah cinta tiga segi antara Agastya, Suhaan dan Piya. Sejak dari zaman kolej, angkasawan NASA Agastya menyukai Piya dan cuba menarik perhatian wanita itu selepas mendapat tahu dia akan bercerai dengan suaminya Suhaan, yang kini seorang bintang terkenal. Suhaan cuba membantu Agastya mendapatkan Piya kerana enggan membayar nafkah kepada isterinya itu. Namun situasi menjadi rumit selepas mendapat tahu mereka mempunyai anak dan perasaan cintanya terhadap Piya masih belum pudar.

Gandingan Akshay, Salman Khan dan Preity Zinta dalam kisah cinta tiga segi ini merupakan tarikan buat para penonton. Walau bagaimanapun apa yang membuatkan ia gagal meraih kutipan tinggi adalah kerana jalan cerita yang semakin mendatar. Memandangkan ia adalah filem pertama arahan Shirish Kunder, mungkin pengarah boleh memperbaiki kesilapannya untuk filem-filem yang akan datang.

Bajet: RM20 juta
Jumlah kutipan: RM26.9 juta

"8X10 Tasveer" (2009)

Akshay bekerja di bawah arahan Nagesh Kukunoor untuk filem aksi thriller ini, yang menceritakan kisah Jai Puri, seorang renjer hutan di Kanada yang mempunyai kebolehan untuk melihat masa lampau dengan hanya melihat gambar. Apabila bapanya mati secara misteri, Jai nekad menggunakan kebolehannya untuk mencari siapakah gerangan pembunuh tersebut.

Jika baca sinopsis filem ini nampak macam menarik, jadi di mana silapnya filem ini sehingga ia gagal? Menurut ulasan pengkritik filem, Akshay telah melakukan sehabis baik, ditambah lagi dengan aksi lagak ngeri dan babak aksi yang padat, namun para pelakon filem ini diberi skrip yang tidak begitu menarik, malah persoalan yang tidak terjawab hingga menimbulkan kekeliruan kepada para penonton.

Bajet: RM21.3 juta
Jumlah kutipan: RM14.3 juta

"Chandani Chowk To China" (2009)

Digarap oleh Nikkhil Advani, filem aksi komedi ini menyaksikan Akshay berkongsi skrin dengan Deepika Padukone, Mithun Chakraborty dan aktor filem aksi terkenal Hong Kong, Gordon Liu. Ia mengisahkan kehidupan seorang tukang masak bernama Sidhu Sharma, berubah selepas dua orang kampung dari China tersalah anggap dia adalah penjelmaan semula pewira kuno Liu Sheng.

Filem ini adalah filem Bollywood ketiga yang bekerjasama dengan syarikat produksi Hollywood dan filem Bollywood pertama edaran Warner Bros Pictures. Ia boleh dikatakan berjaya juga menarik perhatian ramai tetapi kutipannya biasa-biasa sahaja. Jalan ceritanya sudah bagus, tetapi menurut ulasan dan penarafan pengkritik, kekurangannya terletak kepada elemen aksi dan lakonan para pelakon yang kurang menyentuh jiwa. Malah penghujung filem ini juga tergantung yang membawa kepada sekuel namun sehingga kini masih tiada khabar berita mengenai pembikinannya.

Bajet: RM47.8 juta
Jumlah kutipan: RM73.9 juta

"Action Replayy" (2010)

Sebuah filem sains fiksyen dan komedi romantik arahan Vipul Shah yang jalan ceritanya mengingatkan penonton kepada filem Hollywood "Back to the Future". Ia mengisahkan Bunty yang takut untuk berkahwin kerana melihat hubungan ibu bapanya, Kishen dan Mala, semakin renggang. Dengan bantuan mesin masa ciptaan seorang saintis, yang juga datuk kepada teman wanitanya, Bunty kembali ke masa lampau dan cuba memperbaiki hubungan ibu bapanya sebelum mereka berkahwin.

Filem ini menggandingkan Akshay bersama nama-nama besar Bollywood seperti Aishwarya Rai, Aditya Roy Kapoor, Neha Dhupia dan Om Puri. Namun para pengkritik filem memberi ulasan yang agak buruk dengan mengatakan jalan ceritanya mendatar, tiada perkembangan plot dan tiada konflik. Malah skripnya juga kurang memuaskan, menyebabkan penonton tidak tertarik untuk menonton filem ini.

Bajet: RM29.2 juta
Jumlah kutipan: RM26.3 juta

"Patiala House" (2011)

"Patiala House" arahan Nikhil Advani menampilkan Akshay sebagai Parghat Singh Kahlon atau Gattu, seorang atlet kriket generasi kedua Sikh yang bercita-cita untuk menyertai pasukan kriket England di London. Walau bagaimanapun, dia terpaksa menolak tepi hasrat itu demi menjaga hati bapanya tidak bersetuju dengan perkara tersebut. Namun selepas mengenali dua rakan barunya Zeeshan dan Simran, Gattu menerima peluang kedua untuk meneruskan cita-citanya.

Buat pengetahuan pembaca, filem ini diinspirasikan dari filem "Bend It Like Beckham" dan kehidupan sebenar Monty Panesar sebagai Sikh pertama yang layak menyertai pasukan kriket England. Para pengkritik filem dan penonton memberi pelbagai maklum balas positif dan negatif untuk filem ini. Kebanyakan mereka hanya menyatakan jalan cerita ini senang dijangka. Walaupun ulasan filem ini tidaklah seteruk mana tetapi entah mengapa jumlah kutipannya tidak memberangsangkan.

Bajet: RM15.6 juta
Jumlah kutipan: RM21.3 juta

"Joker" (2012)

Nama sahaja "Joker", tetapi ini bukanlah filem yang sama seperti filem Hollywood terbitan DC Extended Universe. Dalam filem ini, Akshay memegang watak sebagai saintis bernama Agastya, yang mengendalikan projek pembangunan sistem komunikasi bersama makhluk asing di Amerika Syarikat. Namun selepas mendapat tahu Kampung Paglapur akan dihapuskan dari peta India, Agastya mempunyai idea untuk memastikan kampung itu dikenali ramai, iaitu dengan cara menyebarkan berita bahawa makhluk asing muncul di kampung tersebut.

Sejarah kembali berulang apabila filem kedua arahan Shirish Kunder ini gagal meraih kutipan pecah panggung selepas "Jaan-E-Maan". Menurut Akshay punca filem ini gagal adalah bukanlah salahnya, malah dia tidak lagi mahu terlibat dengan sebarang aktiviti promosi yang boleh mengganggu jadual dan waktu lapangnya. Gara-gara filem "Joker" gagal, Kunder telah dikeluarkan daripada produksi filem "Kick" (2014) yang diterbitkan oleh Sajid Nadiadwala.

Bajet: RM26.9 juta
Jumlah kutipan: RM 18.3 juta

"Boss" (2013)

Diarahkan oleh Anthony D'Souza, "Boss" merupakan sebuah 'remake' kepada filem Malayalam "Pokkiri Raja". Dalam filem ini, Akshay memegang watak sebagai Suryakant Shastri atau lebih dikenali sebagai Boss. Setelah dibuang oleh bapanya sendiri kerana terlibat dengan satu insiden pergaduhan hingga lawannya terbunuh, Boss dibesarkan oleh seorang ahli perniagaan. Beberapa tahun kemudian Boss telah menjadi seorang ahli perniagaan berjaya yang memperjuangkan hak masyarakat.

Biarpun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mempromosikan filem ini, termasuk perancangan Akshay melakukan aksi lagak ngeri untuk terjun dari bangunan tertinggi di Mumbai dan posternya memecah Rekod Dunia Guinness sebagai poster terbesar di dunia selepas poster filem Michael Jackson "This Is It", sayangnya ia masih gagal meraih kutipan pecah panggung.

Bajet: RM40.1 juta
Jumlah kutipan: RM48.6 juta



Suggested Articles

Peminat-Namakan-Sebutir-Bintang-Atas-Nama-Sushant-Singh-Rajput Bolly Lah
ARTICLE
  • 07 Jul 2020

Peminat Namakan Sebutir Bintang Atas Nama Sushant Singh Rajput

Peminat setia itu mendaftarkan nama Sushant di bawah syarikat The Star Register.

Keluarga-Bekas-Pengurus-Sushant-Singh-Rajput-Minta-Hentikan-Spekulasi-Palsu Bolly Lah
ARTICLE
  • 07 Jul 2020

Keluarga Bekas Pengurus Sushant Singh Rajput Minta Hentikan Spekulasi Palsu

Baru-baru ini timbul pelbagai spekulasi dan teori konspirasi kematiannya.

Ibu-Jiah-Khan-Dakwa-Kes-Kematian-Sushant-Singh-Rajput-Sama-Seperti-Kes-Anaknya Bolly Lah
ARTICLE
  • 06 Jul 2020

Ibu Jiah Khan Dakwa Kes Kematian Sushant Singh Rajput Sama Seperti Kes Anaknya

Ibu aktres itu percaya ada pihak atasan mensabotaj penyiasatan polis.

Para-Peminat-Raikan-Hari-Ulang-Tahun-Kelahiran-Ranveer-Singh-Di-Media-Sosial Bolly Lah
ARTICLE
  • 06 Jul 2020

Para Peminat Raikan Hari Ulang Tahun Kelahiran Ranveer Singh Di Media Sosial

Aktor terkenal itu menyambut hari jadinya yang ke-35 pada 6 Julai.

Penampilan-Cameo-Selebriti-Hollywood-Dalam-Filem-Bollywood Bolly Lah
ARTICLE
  • 04 Jul 2020

Penampilan Cameo Selebriti Hollywood Dalam Filem Bollywood

Dua industri perfileman terbesar di dunia ini sering bekerjasama dalam pembikinan filem.