CLOSE
CLOSE AD

Filem-Filem Bollywood Terbaik Arahan Karan Johar

  • 11 Jun 2020
Filem-Filem-Bollywood-Terbaik-Arahan-Karan-Johar

Jika anda adalah penggemar filem-filem Bollywood, sudah tentu nama Karan Johar tidak asing dalam kehidupan anda. Siapa sahaja yang tidak mengenali pembikin filem tersohor Bollywood yang telah menjayakan filem-filem ikonik seperti "Kuch Kuch Hota Hai" dan "Kabhi Khushi Kabhie Gham...". Malah King of Bollywood Shah Rukh Khan juga seakan tidak jemu untuk bekerjasama dengan Karan, atau lebih mesra disapa sebagai KJo, dalam filem-filemnya biarpun hanya membawa watak cameo.

KJo merupakan anak kepada pasangan penerbit filem veteran Yash Johar dan Hiroo Johar, yang menginginkannya menjadi seorang aktor. Sepanjang hayatnya, KJo telah berjaya memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk Pengarah Terbaik Anugerah Filmfare untuk filem "Kuch Kuch Hota Hai", yang juga menandakan arahan debutnya. Dia juga merangkul anugerah sama selepas menggarap filem "My Name Is Khan".

Tahun ini, KJo melakar sejarah hidupnya sendiri apabila dianugerahkan Padma Shri, iaitu anugerah awam keempat tertinggi di India. Filem-filem yang diterbitkan di bawah syarikat produksi Dharma Productions sentiasa menambat hati para peminat. Dalam entri kali ini, jom imbas kembali filem-filem arahan KJo dan juga filem baru arahannya, "Takht", yang bakal dirilis pada 2021!

"Kuch Kuch Hota Hai" (1998)

 

Rahul dan Anjali merupakan sahabat karib dan dalam diam Anjali telah menaruh hati pada Rahul. Namun begitu, kemunculan seorang mahasiswi cantik bernama Tina dari Universiti Oxford berjaya mencuri perhatian Rahul. Sifat Tina yang feminin ternyata berbeza dari Anjali yang lebih bersifat kelakian. Filem ini turut menampilkan seorang lagi aktor Bollywood terkenal iaitu Salman Khan yang membawa watak sebagai tunang Anjali.

Filem yang kekal menjadi salah satu filem ikonik Bollywood ini menandakan debut KJo sebagai pengarah, sekaligus menempa namanya dalam industri. Kejayaan filem ini juga telah mengangkat KJo sebagai salah seorang pengarah berprofil tinggi di Bollywood. Ia dibintangi oleh Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukherjee sebagai peneraju utama.

"Kabhi Khushi Kabhie Gham..." (2001)

 

Biarpun hanya anak angkat kepada pasangan jutawan Yashvardhan dan Nandhini, namun Rahul dilayan bagaikan anak sendiri serta dibesarkan dengan cara hidup yang mewah. Apabila Rahul meningkat dewasa, dia jatuh cinta dengan gadis kampung, Anjali, tetapi tidak direstui oleh Yash kerana melanggar tradisi keluarga, yang mana ibu bapa menentukan jodoh. Yash juga ingin menjodohkan Rahul dengan anak rakan baiknya, Naina. Konflik timbul dan akhirnya Rahul berpindah ke London bersama Anjali. Adik Rahul iaitu Rohan cuba memujuknya untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Walaupun sudah hampir dua dekad, garapan KJo berjaya mengekalkan filem ini sebagai filem ikonik yang lekat di hati penonton selepas "Kuch Kuch Hota Hai". Ia dibintangi oleh nama-nama besar Bollywood iaitu Amitabh dan Jaya Bachchan, Shah Rukh Khan, Hrithik Roshan, Kajol dan Kareena Kapoor. Sedikit trivia, KJo pernah mendedahkan bahawa berlaku konflik ketika dia mengarah filem ini, iaitu Hrithik telah dipinggirkan oleh pelakon-pelakon lain susulan kejayaan filem "Kaho Naa... Pyaar Hai". Selain itu, KJo juga pernah pengsan ketika mengarah babak lagu "Bole Chudiyan" dalam filem ini.

"Kabhi Alvida Naa Kehna" (2006)

 

Kisah cinta terlarang antara Dev dan Maya, yang mana kedua-duanya sudah berkahwin dan akhirnya hubungan mereka menjadi punca keretakan rumah tangga masing-masing. Melalui penyampaian filem ini, KJo telah berjaya membuka mata para penonton bahawa realitinya tidak semua alam perkahwinan mempunyai pengakhiran yang bahagia. Ia dibintangi oleh Amitabh Bachchan, Shah Rukh Khan, Abhishek Bachchan, Rani Mukerji dan Preity Zinta.

Asalnya, watak Rani ditawarkan kepada Kajol namun dia terpaksa menolak kerana terlibat dengan filem "Fanaa". Namun begitu, Kajol tidak menghampakan para peminat apabila dia membuat penampilan istimewa dalam salah sebuah lagu dalam filem ini. Jika penonton perasan, KJo juga ada membuat penampilan cameo menerusi babak di dalam kereta api, di mana KJo menjadi salah seorang penumpang.

"My Name Is Khan" (2010)

 

Rizvan Khan adalah seorang lelaki beragama Islam yang menghidap Sindrom Asperger, menyebabkan dia mempunyai masalah berinteraksi secara sosial. Dia kemudiannya berpindah ke Amerika Syarikat dan jatuh cinta dengan seorang ibu tunggal bernama Mandira, walaupun ditentang oleh keluarganya kerana bertentangan agama. Konflik timbul apabila tragedi 11 September mengubah persepsi dan politik di sana dan memberi gambaran bahawa Islam adalah pengganas, termasuk isteri Khan yang mula membencinya.

Apabila mengarah filem yang bertemakan keagamaan, ia sudah menjadi tanggungjawab KJo untuk sentiasa mengutamakan sensitiviti agama dan masyarakat. KJo membawa kelainan dalam filem pecah panggung ini, di mana ia tiada babak-babak tarian mahupun jalan cerita yang 'klise' seperti filem-filem Bollywood lain. Apa yang ingin KJo sampaikan adalah pemahaman tentang isu Islamofobia yang berleluasa di seluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat. Ayat "My Name is Khan and I'm not a terrorist" akan membuatkan para penonton berfikir.

"Student of the Year" (2012)

 

Jika anda mahu menonton sesuatu yang menyeronokkan dan berjiwa remaja, maka ini adalah filemnya! Filem yang diterajui oleh Sidharth Malhotra, Alia Bhatt dan Varun Dhawan ini telah berjaya menaikkan nama mereka dalam dunia Bollywood. Kejayaan filem ini membangkitkan semangat KJo untuk menerbitkan sekuelnya iaitu "Student of the Year 2" namun kerja pengarah diberi kepada Punit Malhotra.

Berlatarbelakangkan sebuah institusi akademik bertaraf tinggi di India, St. Teresa, di mana setiap tahun, para pelajarnya bersaing demi mendapatkan trofi Pelajar Terbaik. Cerita bermula apabila dua pelajar lelaki bernama Abhi dan Rohan saling mengenali pada akhir tahun mereka berada di St Teresa. Tidak lama kemudian, mereka mengenali Shanaya dan menjadi kawan rapat. Segalanya kelihatan sempurna sehinggalah Abhi dan Shanaya mula jatuh cinta dan pertandingan Pelajar Terbaik bermula.

"Bombay Talkies" (2013)

 

Filem antologi ini adalah hasil kerjasama KJo bersama tiga lagi pengarah hebat iaitu Dibakar Banerjee, Zoya Akhtar dan Anurag Kashyap. Ia terbahagi kepada empat kisah pendek iaitu "Ajeeb Dastaan Hai Yeh" (Karan), "Star" (Dibakar), "Sheila Ki Jawaani" (Zoya) dan "Murabba" (Anurag). Tema utama bagi kesemua kisah pendek ini adalah impak industri Bollywood terhadap kehidupan individu berbeza.

Antara bintang Bollywood yang tampil dalam filem ini ialah Rani Mukerji, Randeep Hooda, Nawazuddin Siddiqui, Katrina Kaif dan Amitabh Bachchan. Sebelum menerima tayangan perdananya di Festival Filem Cannes 2013, filem ini telah dirilis pada 3 Mei 2013, sempena meraikan tahun ke-100 industri perfileman India dan permulaan era baru perfileman moden.

"Ae Dil Hai Mushkil" (2016)

 

Penyanyi yang semakin mencipta nama, Ayan Sanger, mengenali Alizeh, wanita yang ditemuinya di sebuah majlis keramaian. Persahabatan mereka terjalin selepas kedua-duanya saling berkongsi masalah hidup, sehinggalah Ayan mula jatuh cinta kepada Alizeh. Namun cintanya bertepuk sebelah tangan apabila Alizeh bertemu kembali kekasih lamanya dan berkahwin dengan lelaki itu. Akibat kecewa, Ayan akhirnya membawa diri dan bertemu seorang penulis puisi bersama Saba. Biarpun sudah bersama Saba, namun Ayan masih tidak dapat melupakan perasaannya terhadap Alizeh.

Hasrat KJo untuk mengambil diva Bollywood Aishwarya Rai untuk membintangi filemnya akhirnya tercapai selepas gagal menampilkan Aishwarya dalam filem "Kuch Kuch Hota Hai", "Kabhi Khushi Kabhie Gham..." dan "Kabhi Alvida Naa Kehna". Filem ini adalah filem dengan kutipan tertinggi lakonan Aishwarya, sekaligus meletakkan "Dhoom 2" di tangga kedua. Selain Aishwarya, ia turut dibintangi Anushka Sharma, Ranbir Kapoor dan aktor Pakistan Fawad Khan, serta penampilan istimewa Shah Rukh Khan, Lisa Haydon, Imran Ali Abbas dan Alia Bhatt.

"Takht" (2021)

 

Sejak KJo mengumumkan filem komersial ini pada dua tahun lalu, sehingga kini para peminat masih ternanti-nantikan bila tarikh rilisnya memandangkan ia menampilkan barisan nama-nama besar Bollywood seperti Kareena Kapoor Khan, Alia Bhatt, Bhumi Pednekar, Ranveer Singh, Anil Kapoor dan ramai lagi. Walau bagaimanapun, pembikinan filem ini tertangguh susulan pandemik COVID-19 dan ia dijangka rilis pada 2021.

Berlatarbelakangkan era Empayar Mughal, filem aksi sejarah ini berkisarkan tentang Perang Samugarh iaitu peperangan antara dua beradik Aurangzeb dan Dara Shikoh, yang juga anak-anak kepada Shah Jahan. Ia susulan Shah Jahan sakit tenat dan kedua-dua darah daging itu mula bertempur untuk merebut takhta dan kuasa Maharaja Mughal.



Suggested Articles

6-Filem-Yang-Shah-Rukh-Khan-Pernah-Tolak Bolly Lah
ARTICLE
  • 09 Jul 2020

6 Filem Yang Shah Rukh Khan Pernah Tolak

Jom ketahui mengapa 'King of Bollywood' ini menolak filem-filem hebat ini!

Pooja-Bhatt-Sindir-Kangana-Ranaut-Kerana-Persoalkan-Nepotisme Bolly Lah
ARTICLE
  • 09 Jul 2020

Pooja Bhatt Sindir Kangana Ranaut Kerana Persoalkan Nepotisme

Aktres itu tampil memberi penjelasan berhubung tuduhan terhadap keluarganya.

Rahul-Roy-Dedah-Sebab-Dia-Undur-Diri-Dari-Dunia-Bollywood Bolly Lah
ARTICLE
  • 08 Jul 2020

Rahul Roy Dedah Sebab Dia Undur Diri Dari Dunia Bollywood

Aktor itu menjelaskan keputusannya tidak ada kena mengena dengan industri tersebut.

Priyanka-Chopra-Bakal-Bintangi-Filem-Keanu-Reeves-The-Matrix-4 Bolly Lah
ARTICLE
  • 08 Jul 2020

Priyanka Chopra Bakal Bintangi Filem Keanu Reeves "The Matrix 4"

Berita yang tular di Internet ini telah membangkitkan keterujaan ramai peminat.

Peminat-Namakan-Sebutir-Bintang-Atas-Nama-Sushant-Singh-Rajput Bolly Lah
ARTICLE
  • 07 Jul 2020

Peminat Namakan Sebutir Bintang Atas Nama Sushant Singh Rajput

Peminat setia itu mendaftarkan nama Sushant di bawah syarikat The Star Register.

Keluarga-Bekas-Pengurus-Sushant-Singh-Rajput-Minta-Hentikan-Spekulasi-Palsu Bolly Lah
ARTICLE
  • 07 Jul 2020

Keluarga Bekas Pengurus Sushant Singh Rajput Minta Hentikan Spekulasi Palsu

Baru-baru ini timbul pelbagai spekulasi dan teori konspirasi kematiannya.