CLOSE
CLOSE AD

Filem-Filem Bollywood bertemakan makanan

  • 16 Jun 2020
Filem-Filem-Bollywood-bertemakan-makanan

Seumur hidup, kita memang tidak boleh dipisahkan dengan makanan! Kini filem bukan sahaja menceritakan kisah cinta, seram atau aksi yang klise sahaja, tetapi juga membangkitkan selera dan menjamu mata para penonton dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan! Tentunya ianya lebih menarik perhatian lebih ramai orang untuk menonton filem-filem sebegini.

Seperti industri filem Hollywood dan Jepun yang sememangnya terkenal dengan filem-filem dan animasi bertemakan makanan, anda perlu tahu bahawa industri Bollywood turut tidak ketinggalan. Hidangan dalam filem Bollywood adalah subteks penting untuk kisah-kisah mengenai identiti, tempat dan warisan keluarga.

Sambil anda menonton, mungkin anda juga boleh sediakan pen dan kertas untuk menyalin resepi-resepi tradisional India menarik yang ditampilkan dalam filem-filem Bollywood yang kami senaraikan ini. Bolehlah anda asah bakat memasak masing-masing!

"The Lunch Box"

"The Lunch Box" membuktikan bahawa cara untuk memikat hati lelaki adalah melalui perutnya! Ia mengisahkan cubaan seorang suri rumah tangga bernama Ila memperbaiki hubungan bersama suaminya yang renggang dengan menyediakan bekal makanan istimewa. Namun, ia tidak sampai ke tangan suaminya, sebaliknya kepada seorang duda bernama Saajan Fernandes yang tinggal berhampiran kawasan perumahannya. Sejak itu bermulalah persahabatan dan percintaan antara mereka dengan hanya berkirim surat menerusi bekal makanan tanpa pernah bersua muka.

Salah satu nashkah berkualiti lakonan bintang Bollywood Irrfan Khan bersama Nimrat Kaur bergenre romantik 'epistolary' yang diarahkan oleh Ritesh Batra. Buat pengetahuan lanjut, filem ini telah diterbitkan oleh hasil kerjasama beberapa studio produksi termasuk DAR Motion Pictures, Dharma Productions, Sikhya Entertainment dan UTV Motion Pictures. Ia merupakan filem Hindi lakonan Irrfan dengan kutipan paling tinggi sebelum "Hindi Medium".

"Chef"

Roshan Kalra mempunyai minat memasak sejak kecil lagi. Walau bagaimanapun, akibat mempunyai sifat panas baran, Roshan kehilangan kerjanya sebagai seorang cef. Dia cuba merapatkan hubungan dengan anak lelaki mereka, Armaan, melalui masakannya. Bekas isteri Roshan, Radha Menon, akhirnya mencadangkannya supaya dia membuka perniagaan sendiri dan mengusahakan sebuah trak makanan.

Saif Ali Khan merupakan peneraju utama dalam 'remake' versi Hindi filem Hollywood "Chef" yang diarah serta dilakonkan oleh Jon Favreau. Selain Saif, ia turut menampilkan Padmapriya Janakiraman dan Svar Kamble. Biarpun filem arahan Raja Krishna Menon ini gagal untuk melepasi taraf pecah panggung, namun ia sesuai buat tontonan penggemar makanan dan juga yang suka melancong!

"English Vinglish"

Kejayaan filem ini menghadiahkan primadona Sridevi gelaran "Meryl Streep of India" dan "female Rajinikanth in India" apabila ia ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto. Ia juga menandakan kejayaan Gauri Shinde memenangi pelbagai anugerah berprestij sebagai pengarah debut. Selain Sridevi, filem ini juga dilakonkan oleh Adil Hussain, Mehdi Nebbou, Navika Kotia dan Shivansh Kotia.

Duit, kemasyhuran dan ilmu pengetahuan Bahasa Inggeris merupakan tiga faktor yang memainkan peranan penting dalam bagaimana masyarakat menghakimi seseorang. "English Vinglish" menceritakan kisah seorang suri rumah tangga bernama Shashi Godbole yang cuba mempelajari Bahasa Inggeris untuk membangkitkan keyakinannya. Kelebihannya untuk memasak Ladoo (sejenis pemanis mulut di India) membantunya mengumpul wang demi menyertai kursus Bahasa Inggeris, dengan bantuan seorang cef Perancis.

"Cheeni Kum"

"Cheeni Kum" menyaksikan gandingan hebat bintang veteran Amitabh Bachchan dan Babu, yang mana rata-rata penonton dan pengkritik filem memuji persembahan mereka dalam filem arahan R. Balki ini. Filem ini menunjukkan kelebihan makanan yang boleh merapatkan hubungan dua individu. Walaupun pada awalnya ia kurang menerima sambutan, namun filem ini akhirnya berjaya meraih kutipan pecah panggung.

Buddhadev Gupta adalah seorang cef berusia 64 tahun yang mempunyai ego tinggi dan juga pemilik restoran India terkenal di London, Spice 6. Dia hanya berkawan dengan jirannya Sexy, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang menghidap kanser. Kerana minat yang terlalu mendalam terhadap memasak, dia tidak pernah memikirkan soal cinta sehinggalah dia mengenali Nina Verma, wanita berusia 34 tahun yang datang ke restorannya. Buddhadev kemudiannya menggunakan kelebihan memasak untuk memenangi hati Nina dan bapanya.

"Daawat-e-Ishq"

Judulnya sahaja sudah memberi gambaran bahawa filem arahan Habib Faisal ini berkisarkan tentang makanan dan percintaan. Dibintangi Parineeti Chopra dan Aditya Roy Kapur, bersama mereka telah menonjolkan bakat memasak masing-masing dengan pelbagai hidangan menyelerakan seperti Vada Sambhar, Idli Butter Pudi, Butter Dosa, Set Dosa, Mutton Dhansak dan Kaapi, yang pasti membuatkan para penonton kecur air liur. Benarlah kata orang yang makanan boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.

Sepanjang hidupnya, jurujual kasut bernama Gulrez "Gullu" Qadir dikelilingi oleh lelaki-lelaki yang hanya inginkan wang hantaran tinggi, menyebabkan impian bapanya untuk melihatnya berkahwin gagal. Gullu juga ingin ke Amerika. Mereka akhirnya berpindah ke Lucknow dengan identiti palsu untuk mencari mangsa, di mana Gullu mula berkenalan dengan pemilik restoran terkenal Tariq "Taru" Haider. Biarpun pada awalnya, Gullu ingin memerangkap Taru dan mengambil semua wang hantarannya, namun lama kelamaan dia sedar yang dia sudah jatuh cinta dan membatalkan niat jahatnya.

"Stanley Ka Dabba"

"Stanley Ka Dabba" membawa anda kembali ke zaman kanak-kanak, di mana kegembiraan dan keseronokan terserlah apabila kita berkongsi bekal makanan bersama rakan-rakan. Stanley adalah pelajar sekolah lelaki Holy Family yang sentiasa menikmati makanan yang dibawa oleh rakan-rakannya dalam mangkuk tingkat. Walau bagaimanapun, ia tidak disenangi oleh guru mereka Verma, yang suka 'mencuri' makanan pelajar-pelajarnya. Akibatnya, Verma tidak membenarkan Stanley hadir ke sekolah sehinggalah dia membawa bekal makanan sendiri.

Ditulis, diterbit, diarah serta dilakonkan oleh Amole Gupte, filem berbajet rendah ini hanya mempunyai lima orang kru produksi sahaja memandangkan Amole ingin membikin filem kecil. Dia kemudiannya mendapatkan pertolongan Karan Johar untuk menandatangani urusan pengedaran bersama Fox Star Studios. Watak utamanya dilakonkan oleh anak Amole sendiri iaitu Partho Gupte, bersama Divya Dutta, Divya Jagdale, Raj Zutshi dan ramai lagi.

"Luv Shuv Tey Chicken Khurana"

Bongkar bahan rahsia yang terdapat dalam hidangan yang pernah terkenal di Punjab suatu masa dulu, iaitu Chicken Khurana dalam "Luv Shuv Tey Chicken Khurana". Filem komedi terbitan Ronnie Screwvala, Siddharth Roy Kapur dan Anurag Kashyap ini pasti akan mengingatkan penonton kepada filem animasi Hollywood "Kung Fu Panda" memandangkan temanya sama. Ia menampilkan Kunal Kapoor, Vicky Kaushal, Vinod Nagpal dan Huma Kureshi serta penampilan cameo Nimrat Kaur.

Omi yang menetap di London pulang ke kampung halamannya di Punjab dan mendapati datuknya, yang mengusahakan restoran keluarga mereka, telah lupa akan bahan rahsia hidangan utama di restoran itu, Chicken Khurana. Dengan bantuan rakan baiknya sejak kecil, Harman, mereka mula mencari resepi turun temurun itu dengan melakukan ujian resepi sambil mempelajari tentang warisan keluarganya.

"Duplicate"

Filem klasik yang mengisahkan pelanduk dua serupa ini diterajui tak lain dan tak bukan, Shah Rukh Khan. Diarahkan oleh Mahesh Bhatt di bawah terbitan Yash Johar, ia merupakan 'remake' filem "The Whole Town's Talking". Ia menandakan kolaborasi kelima Shah Rukh Khan dengan studio produksi Dharma Producttions. Di samping Shah Rukh Khan, filem ini turut menampilkan pelakon lain seperti Juhi Chawla, Mohnish Behl, Sonali Bendre, Gulshan Grover, serta penampilan istimewa Kajol.

Manu merupakan banduan yang lari dari penjara dan menemui pelanduk dua serupanya bernama Bablu, iaitu seorang cef yang periang. Situasi menjadi kacau bilau apabila Manu cuba menjadi Bablu, menyebabkan cef itu ditahan oleh pihak polis yang menyalah anggapnya sebagai Manu. Malangnya, situasi di restoran juga sama memandangkan Manu tidak tahu memasak dan diburu sekumpulan gengster.

"Ramji Londonwaley"

Setelah kehilangan kerja sebagai cef di London, Ramji bagaikan tiada arah tuju memandangkan itu satu-satunya peluang untuk dia menjadi kaya dan menampung wang hantaran perkahwinan adiknya. Dengan bakatnya untuk memasak hidangan 'vegetarian', Ramji berusaha dengan pelbagai cara untuk merealisasikan impiannya, termasuk menyertai pertandingan memasak yang memberinya peluang untuk diambil bekerja di sebuah hotel ternama.

Diarahkan oleh Sanjay Dayma, filem ini menampilkan Madhavan sebagai peneraju utama, dibantu oleh para pelakon lain seperti Samita Bangargi, Harsh Chhaya, Sunita Sengupta, Satish Shah, Akhilendra Mishra, serta penampilan istimewa Amitabh Bachchan. Filem ini merupakan 'remake' filem Tamil "Nala Damayanthi" yang turut dibintangi oleh Madhavan.

 



Suggested Articles

Kakak-Alia-Bhatt-Shaheen-Dedah-Mesej-Ugutan-Bunuh-Dan-Rogol-Di-Media-Sosial Bolly Lah
ARTICLE
  • 14 Jul 2020

Kakak Alia Bhatt, Shaheen Dedah Mesej Ugutan Bunuh Dan Rogol Di Media Sosial

Shaheen menegaskan dia akan mengambil tindakan terhadap semua pelaku.

Aishwarya-Rai-Daughter-Test-Positive-For-Covid-19 Bolly Lah
ARTICLE
  • 12 Jul 2020

Aishwarya Rai & Daughter Test Positive For Covid-19!

Aishwarya Rai and Jaya Bachan's Covid-19 test results are finally out... 

6-Selebriti-Bollywood-Yang-Kembali-Bekerja-Dalam-Tempoh-Pandemik Bolly Lah
ARTICLE
  • 10 Jul 2020

6 Selebriti Bollywood Yang Kembali Bekerja Dalam Tempoh Pandemik

Ia susulan kerajaan India melonggarkan sekatan Perintah Berkurung baru-baru ini.

Warganet-Kecam-Tindakan-Karan-Johar-Hadiri-Majlis-Hari-Jadi-Neetu-Kapoor Bolly Lah
ARTICLE
  • 10 Jul 2020

Warganet Kecam Tindakan Karan Johar Hadiri Majlis Hari Jadi Neetu Kapoor

Ia susulan pembikin filem itu dikatakan sedang mengalami kemurungan.