CLOSE
CLOSE AD

Penampilan Cameo Selebriti Hollywood Dalam Filem Bollywood

  • 04 Jul 2020
Penampilan-Cameo-Selebriti-Hollywood-Dalam-Filem-Bollywood

Dua industri perfileman paling besar di dunia, Hollywood dan Bollywood, sering dilihat bekerjasama sejak dahulu lagi. Tidak kira dari segi penerbitan, menyediakan kandungan cerita sesebuah filem mahupun gandingan pelakon-pelakon dalam filem! Seperti yang diketahui, ramai bintang Bollywood yang telah mencipta nama di Hollywood seperti Priyanka Chopra, Amitabh Bachchan, Aishwarya Rai, Anil Kapoor dan Ali Fazal.

Buat pengetahuan anda, selebriti-selebriti dari Hollywood juga tidak terkecuali untuk membuat penampilan dalam filem-filem Bollywood. Sebagai contoh, aktres Sarah Thompson pernah menggalas watak kekasih kepada Ranbir Kapoor dalam filem "Rajneeti", sementara aktor filem "All's Well That Ends Well", Toby Stephens, membintangi filem aksi sejarah Aamir Khan "The Rising: Ballad of Mangal Pandey".

Kali ini, kami akan senaraikan beberapa selebriti Hollywood yang pernah membuat penampilan cameo dalam filem-filem Bollywood seperti "Kambakkht Ishq", "Namastey London" dan "Student of the Year 2".

Snoop Dogg

 

Jika anda merupakan peminat penyanyi rap Snoop Dogg dan ingin melihatnya memakai pakaian tradisional Sikh berserta turban, silalah tonton filem aksi komedi "Singh Is Kinng". Filem arahan Anees Bazmee ini menampilkan Akshay Kumar dan Katrina Kaif sebagai peneraju utama. Snoop dilihat membuat penampilan istimewa dalam lagu tema yang sama judulnya dengan filem ini. Menurut penerbit Vipul Shah, ia merupakan idea Akshay untuk memakaikan pakaian tradisional itu pada Snoop Dogg.

Ludacris

 

Penyanyi rap dan pelakon siri filem "Fast & Furious" Ludacris berganding dengan Akshay Kumar menerusi filem sukan komedi "Speedy Singh". Walau bagaimanapun, Ludacris dan Akshay tidak berlakon, sebaliknya mereka hanya membuat penampilan dalam sebuah lagu berjudul "Shera Di Khom". Malah penyanyi Drake juga turut membuat kemunculan istimewa dalam salah satu babak filem terbitan Akshay dan Paul Gross ini. Ia dibintangi oleh Vinay Virmani, Camilla Belle, Rob Lowe, Russell Peters dan Anupam Kher.

Sylvester Stallone

 

Siapa tak kenal hero filem "Rambo" ini? Ya, Sylvester Stallone pernah membintangi filem aksi komedi romantik "Kambakkht Ishq" terbitan Sajid Nadiadwala. Ia dibintangi oleh Akshay Kumar dan Kareena Kapoor sebagai peneraju utama. Dalam salah satu babak, Stallone menjadi hero yang menyelamatkan Kareena daripada sekumpulan gengster. Selain Stallone, filem pecah panggung ini turut menampilkan cameo beberapa aktor Hollywood lain iaitu Denise Richards, Whoopi Goldberg, Brandon Routh dan Holly Valance.

Will Smith

 

Jika anda sudah menonton filem terbitan Karan Johar "Student of the Year 2", pasti anda perasan yang aktor Hollywood terkenal Will Smith ada membuat penampilan dalam lagu berjudul "Radha" bersama barisan pelakon utama, Tiger Shroff, Ananya Panday, Tara Sutaria dan Aditya Seal. Sebenarnya penglibatan Smith dalam filem ini adalah secara kebetulan. Pada ketika itu, Smith terlibat dengan penggambaran program Bucket List di India, yang memerlukannya untuk menari lagu Bollywood. Dia berlatih menari bersama Ranveer Singh dan Karan Johar, dan akhirnya tercapai jua hasratnya untuk terlibat dengan babak tarian lagu Bollywood!

Ben Kingsley

 

Dua legenda terkenal Bollywood dan Hollywood iaitu Amitabh Bachchan dan Ben Kingsley digandingkan sebagai watak utama dalam filem thriller "Teen Patti" arahan Leena Yadav. Bachchan menjayakan watak seorang profesor matematik dan kejuruteraan perisian, ingin menyiapkan thesis kebarangkalian yang berkait dengan permainan kad India Teen Patti. Dia bekerjasama dengan seorang ahli matematik British terkenal yang mana wataknya dijayakan oleh Kingsley.

Clive Standen

 

Sebelum menjayakan filem "Doctor Who" dan "Robin Hood", aktor Clive Standen pernah membintangi filem Bollywood "Namastey London", yang menggandingkannya dengan Katrina Kaif sebagai pasangan kekasih. Selain Katrina, filem komedi romantik arahan Vipul Amrutlal Shah ini turut dibintangi barisan pelakon Bollywood lain seperti Akshay Kumar, Rishi Kapoor dan Javed Sheikh.

Christopher B. Duncan

 

Aktor Christopher B. Duncan menjayakan watak bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menerusi filem pecah panggung Shah Rukh Khan, "My Name Is Khan". Difahamkan pengarah filem ini iaitu Karan Johar mengenali Duncan melalui filem-filem dan rancangan televisyennya. Asalnya Karan ingin memilih aktor Forest Whitaker, namun akibat komitmen dengan filem lain, Whitaker terpaksa menolak dan akhirnya watak itu diberikan kepada Duncan. Selain Duncan, "My Name Is Khan" turut menampilkan aktor remaja Kenton Duty yang terkenal dengan siri televisyen Disney Channel "Shake It Up".

Kylie Minogue

 

Sebuah lagi filem lakonan Akshay Kumar iaitu "Blue" yang menampilkan penyanyi dan pelakon Hollywood iaitu Kylie Minogue. Minogue membuat penampilan dalam sebuah lagu berjudul "Chiggy Wiggy", di mana dia dilihat menari dan menyanyi bersama Akshay. Filem arahan Anthony D'Souza ini turut dibintangi pelakon lain seperti Sanjay Dutt, Zayed Khan dan Lara Dutta.



Suggested Articles

Hrithik-Roshan-Dedah-Wataknya-Dalam-Dhoom-2-Diinspirasi-Daripada-Tiga-Aktor Bolly Lah
ARTICLE
  • 26 Nov 2020

Hrithik Roshan Dedah Wataknya Dalam "Dhoom 2" Diinspirasi Daripada Tiga Aktor

Bintang Bollywood itu sambut ulang tahun ke-14 filem ikonik tersebut.

Selebriti-Selebriti-Bollywood-Beri-Tribute-Kepada-Diego-Maradona Bolly Lah
ARTICLE
  • 26 Nov 2020

Selebriti-Selebriti Bollywood Beri Tribute Kepada Diego Maradona

Legenda bola sepak itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Delhi-Crime-Dinobat-Sebagai-Siri-Drama-Terbaik-Di-Anugerah-Emmy-Antarabangsa-2020 Bolly Lah
ARTICLE
  • 26 Nov 2020

"Delhi Crime" Dinobat Sebagai Siri Drama Terbaik Di Anugerah Emmy Antarabangsa 2020

Pengarah Richie Mehta berkongsi keterujaan atas kemenangan itu.

Deepika-Padukone-Galas-Watak-Ejen-Dalam-Filem-Shah-Rukh-Khan-Pathan Bolly Lah
ARTICLE
  • 25 Nov 2020

Deepika Padukone Galas Watak Ejen Dalam Filem Shah Rukh Khan, "Pathan"

Aktres itu akan sertai penggambaran "Pathan" bermula pertengahan Disember ini.

Bharti-Singh-Dan-Suami-Haarsh-Limbachiyaa-Dibebaskan-Dengan-Ikat-Jamin Bolly Lah
ARTICLE
  • 25 Nov 2020

Bharti Singh Dan Suami, Haarsh Limbachiyaa Dibebaskan Dengan Ikat Jamin

Terdahulu pasangan itu telah ditahan oleh NCB berhubung kes dadah.