Madhuri Dixit berhasrat untuk menghentikan stereotaip umur dan memilih watak yang membolehkannya berpeluang melakukan sesuatu diluar jangkaan diri.

Menurut laporan IndiaToday, Aktres berusia 51 tahun itu berkata walaupun dia merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata, tidak semestinya dia hanya perlu melakonkan watak sebegitu sahaja.

“Saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza, sesuatu yang boleh menghapuskan stereotaip tersebut. Jadi saya terima tawaran untuk berlakon dalam “Dedh Ishqiya”, “Gulab Gang”, “Bucket List” dan “Total Dhamaal”.

“Filem-filem ini telah memberi kelainan kepada saya. Oleh itu, orang ramai patut menjangka yang saya akan melakukan sesuatu yang luar biasa di layar perak,” jelasnya lagi.

Bintang veteran yang akan dilihat dalam filem terbaru berjudul “Kalank” merupakan pelakon wanita terbaik Bollywood pada zaman 90-an.

Antara filem yang dibintanginya sebelum ini ialah “Ram Lakhan”, “Tezaab”, “Dil”, “Hum Aapke Hain Koun...!”, “Mrityudand”, “Pukar” dan “Devdas”.

Madhuri baru sahaja kembali ke Mumbai selepas menetap di Denver, Amerika Syarikat.

Selain itu, Madhuri memberi pandangan bahawa seseorang perlu melakukan perubahan mengikut masa, begitu juga dengan dirinya.

“Jika saya ingin membikin filem, saya akan membuatkan ia nampak lebih realistik supaya boleh berkait rapat dengan penonton. Saya mungkin akan membikin sebuah filem aksi,” ujarnya.

Bagi Madhuri, apa yang penting adalah kreativiti perlu ada dalam diri seseorang dan tidak perlu gentar untuk mengambil risiko.

Aktres itu menggambarkan wataknya dalam “Kalank” bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibawa. Dia menggantikan mendiang pelakon Sridevi untuk watak Bahaar Begum dalam filem arahan Abhishek Varman itu.

Filem ini turut menyatukan semula Madhuri bersama bintang terkenal tahun 90-an, Sanjay Dutt. Madhuri akui bekerjasama dengan Sanjay merupakan suatu pengalaman yang hebat.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber Foto : Magazine50