Perintah Berkurung yang dilaksanakan oleh kerajaan India sejak minggu lalu telah memberi kesan kepada industri perfileman Bollywood sehingga kebanyakan syarikat produksi menggantung operasi mereka.

Namun perkara itu tidak menjadi masalah kepada aktor Aditya Roy Kapur yang bakal membintangi filem "Ek Villain 2" arahan Mohit Suri, kerana kedua-dua mereka membuat persiapan filem di rumah.

"Aditya dan Mohit telah melakukan perbincangan menerusi panggilan video berkenaan wataknya. Aditya akan menjayakan beberapa karakter yang berperwatakan sama.

"Selepas ini Aditya dan Mohit akan melakukan persiapan dari segi fizikal, di mana mereka akan menjalankan rutin kecergasan harian.

"Sepatutnya mereka perlu berjumpa untuk sesi membaca skrip untuk mendalami watak antagonis namun kini mereka perlu bekerja di rumah sehingga tempoh berkurung tamat," dedah sumber menerusi Filmfare.

Sejurus sahaja keadaan pandemik mula terkawal, Mohit dan kumpulan produksi akan memulakan tinjauan bagi lokasi penggambaran yang ditangguhkan sebelum ini.

Sebelumnya, Aditya dan Mohit telah bekerjasama dalam menjayakan filem aksi thriller "Malang" yang ditayangkan pada 7 Februari lalu.

Selain Aditya, filem itu turut dibintangi John Abraham, Disha Patani dan Tara Sutaria. Filem pertama iaitu "Ek Villain" (2014) dibintangi oleh Riteish Deshmukh, Sidharth Malhotra dan Shraddha Kapoor.

Melihat kembali kejayaan filem pertama, kini ramai yang tidak sabar menantikan hasil filem "Ek Villain 2". Jadi nantikan perkembangan lanjut mengenai filem ini!

(Sumber: Filmfare)
(Sumber foto: Filmfare Photoshoot)