Jika sebelum ini Kiara Advani dilaporkan akan membintangi "Indoo Ki Jawani", kini aktor Aditya Seal telah diangkat sebagai gandingannya dalam filem tersebut.

Laporan dari Bollywood Life menyatakan sebelum ini Aditya telah menerajui filem "Tum Bin 2" dan "Student of the Year 2" yang menampilkan Tiger Shroff sebagai watak utama.

"Ya, memang betul saya kini terlibat dalam filem komedi ini. Sebagai persiapan, saya perlu mempelajari dialek lain. Mengapa? Tunggu dan lihat sahaja nanti," katanya, memberi teka teki kepada para penonton.

Aktor itu mendedahkan karakternya dalam filem itu bukanlah seperti hero biasa yang dilihat dalam "Student of the Year 2", sebaliknya karakternya mudah untuk dikait rapat dengan penonton.

"Indoo Ki Jawani" mengisahkan tentang seorang gadis ceria dari Ghaziabad (Kiara), yang ingin mencari pasangan kekasih menerusi aplikasi cari jodoh yang menyebabkan dirinya terpalit dengan pelbagai masalah melucukan.

Disoal jika pernah menggunakan aplikasi cari jodoh, Aditya mengakui dia pernah memuat turun aplikasi kerana ingin mencubanya namun memadamnya selepas tiga hari kerana berasa tidak selesa.

Dalam pada itu, filem itu turut menandakan debut pembikin filem Bengali, Abir Sengupta, sebagai pengarah dalam industri Bollywood.

Sesi penggambaran dijangka akan bermula pada September depan di bawah terbitan Electric Apples Entertainment dan Emmay Productions dan ditayangkan pada 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Bollywood Life)
(Sumber foto: Aditya Seal Instagram)