Belum sampai seminggu ditayangkan, kutipan filem aksi "Baaghi 3" sudah pun mencapai sasaran pecah panggung dan menerima sambutan memberansangkan biarpun dunia sedang dilanda wabak novel COVID-19.

Pengarahnya, Ahmed Khan, meluahkan rasa teruja apabila orang ramai menyukai kelainan yang dibawanya menerusi tema filem yang diterajui oleh bintang terkenal Tiger Shroff itu.

Melihat sambutan yang diterima cukup baik, Ahmed akhirnya mendedahkan perancangannya untuk terus memperkembangkan francais aksi kegemaran ramai itu.

"Semuanya bergantung kepada penerbit Sajid Nadiadwala. Jika dia bersetuju untuk kami teruskan dengan "Baaghi 4", kami akan membikinnya. Apa yang pasti, kami akan terus menghidupkan francais ini.

"Salah satu faktor yang membuatkan filem ini berjaya adalah penglibatan Tiger dan sokongan para peminatnya, di samping aksi yang sesuai dengan jalan cerita. Tiger telah bekerja keras untuk melakukan aksi sebegini," ujarnya yang dipetik dari Times of India.

Menurut Ahmed, pengalaman bekerja buat kali kedua dengan Tiger banyak mengajarnya untuk lebih memahami aktor itu, malah menyifatkan Tiger seorang yang merendah diri walaupun dia semakin terkenal.

Selain Tiger, "Baaghi 3" turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Riteish Deshmukh, Shraddha Kapoor, Ankita Lokhande, Vijay Varma, Ashutosh Rana serta bapa Tiger yang juga aktor veteran Jackie Shroff.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Ahmed Khan Instagram)