Para peminat Ajay Devgn dikejutkan dengan berita gembira apabila penerbit dan aktor itu mengesahkan filem aksi thriller Tamil "Kaithi" bakal dibikin semula dalam versi Hindi.

Seperti yang dilaporkan oleh India Today, Ajay mengumumkan menerusi laman Twitter bahawa dia akan menerajui filem pecah panggung versi Hindi itu.

Berita itu turut disokong dengan kenyataan daripada penerbit S.R. Prabhu, yang mana filem terbitan kerjasama tiga syarikat produksi itu akan dirilis pada 12 Februari 2021.

Sebelumnya, timbul spekulasi bahawa filem itu akan diterajui oleh Salman Khan atau Hrithik Roshan.

Walaupun butiran selebihnya mengenai pembikinan filem itu belum didedahkan, namun peminat mula menjangkakan 'remake' itu bakal menjadi salah satu filem besar pada tahun hadapan.

Filem asal arahan Lokesh Kanagaraj telah dirilis pada 25 Oktober 2019 dan dibintangi oleh Karthi dan Narain. Ia berjaya menerima sambutan baik dan mencapai sasaran pecah panggung.

Filem itu berkisarkan mengenai seorang banduan yang bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak polis, dengan harapan untuk bertemu anak perempuannya buat pertama kali.

Selepas tayangan filem perang "Tanhaji: The Unsung Warrior", jadual kerja Ajay dilihat padat dengan pelbagai filem baru yang bakal dirilis sepanjang tahun ini.

Filem-filem itu ialah "Sooryavanshi", "Chhalaang", "Bhuj: The Pride of India", "The Big Bull", dan "Maidaan".

(Sumber: India Today)
(Sumber foto: Social News XYZ)