Melihat jumlah kes COVID-19 semakin meningkat di India, aktor Ajay Devgn dan Hrithik Roshan tampil menyeru para pesakit COVID-19 yang telah sembuh supaya menderma darah untuk disalurkan kepada pesakit COVID-19 yang masih terlantar di hospital.

"Jika anda telah sembuh daripada COVID-19, anda adalah pewira Corona. Kami memerlukan sepasukan pewira sebegini untuk menangani musuh yang tidak kelihatan ini.

"Darah anda mengandungi 'peluru' yang boleh membunuh virus ini. Jadi tolonglah dermakan darah anda, supaya orang lain, terutamanya pesakit yang lebih serius dapat pulih seperti biasa. Daftarkan diri anda sekarang," tulis Ajay di Instagram.

Sementara itu, Hrithik turut berkongsi poster berkaitan kempen derma darah tersebut menerusi laman Instagramnya dan mengeluarkan sebuah kenyataan di Twitter semalam.

"Hospital Kasturba Mumbai kini sedang menjalankan misi yang memerlukan sokongan anda semua yang telah berjaya sembuh dari Coronavirus.

"Jika anda telah melepasi tempoh 14 hari kuarantin selepas disahkan positif, dan keputusan ujian terakhir adalah negatif, darah anda mempunyai sel yang boleh membunuh virus ini.

"Jika anda dermakan darah anda, pesakit lain boleh sembuh juga, terutamanya yang serius. Sila daftarkan diri anda segera untuk derma darah anda dan selamatkan nyawa orang lain," tulis Hrithik.

Turut menyertai mereka untuk menguar-uarkan kempen derma darah tersebut adalah aktor Varun Dhawan yang berkongsikan kenyataan Hrithik di laman Twitter.

Buat masa ini, selebriti-selebriti Bollywood sedang melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu para barisan hadapan dan kerajaan dalam usaha membendung COVID-19.

(Sumber: Ajay Devgn Instagram & Hrithik Roshan Twitter)
(Sumber foto: Magzter)