Susulan kejayaan filem komedi pecah panggung "Housefull 4" tahun lalu, kini penerbit Sajid Nadiadwala merancang untuk mengembangkan lagi francais filemnya dengan merealisasikan "Housefull 5".

Difahamkan Sajid akan mengembalikan semula para pelakon "Housefull" dari filem pertama hingga keempat bagi memeriahkan projek mega itu dan pengguna media sosial ternyata teruja mendengarnya.

""Housefull 5" akan menandakan kemunculan semula Deepika Padukone, Kriti Sanon, John Abraham, Abhishek Bachchan, Jacqueline Fernandez dan para pelakon lain dari keempat-empat filem sebelumnya.

"Visinya adalah untuk menghasilkan filem itu dalam skala besar. Idea filem telah pun dimuktamadkan dan perbincangan bersama para pelakon juga sudah berjalan," dedah sumber yang dipetik dari Pinkvilla.

Bukan itu sahaja, Sajid juga merancang untuk melakukan penggambaran dalam format Imax, di mana kali terakhir ia dilakukan di Bollywood adalah menerusi filem "Baahubali" dan "Padmavaat".

Tidak hairan jika projek filem itu akan diteruskan kerana tahun lalu pelakon utama francais "Housefull" iaitu Akshay Kumar telah pun memberi bayangan bahawa filem kelima akan diterbitkan.

A post shared by Akshay Kumar (@akshaykumar)

Mengikut perancangan, jika projek itu berjalan dengan lancar, penerbit bercadang untuk menayangkan "Housefull 5" pada Deepavali 2023.

Walau bagaimanapun, buat masa ini masih belum ada kenyataan rasmi yang keluar dari pihak Sajid, Akshay mahupun mana-mana pelakon yang dinyatakan.

(Sumber foto: Tricity, Inkhabar & India Words)