Baru sahaja menjayakan filem komedi "Good Newwz", jadual kerja bintang terkenal Akshay Kumar akan menjadi semakin padat apabila dia disahkan bakal membintangi sebuah lagi filem komedi terbitan Ekta Kapoor.

"Akshay telah menandatangani filem ini kira-kira 10 hari lalu. Pihak logistik sedang menjalankan tugas mereka dan skrip sedang diteliti. Filem ini masih belum diberi judul, namun ia adalah sebuah komedi yang disertakan dengan aksi.

"Ia akan diarahkan oleh seorang pengarah baru. Seperti filem-filemnya yang lain, Akshay akan terlibat dengan jadual penggambaran yang berlangsung secara berterusan.

"Kini dia sedang dalam proses membaca skrip dan jadualnya akan ditetapkan dalam tempoh dua minggu," dedah satu sumber yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Dalam perkembangan lain, tahun ini akan menyaksikan Akshay tampil dalam tiga buah filem. Yang pertama adalah "Sooryavanshi" arahan Rohit Shetty, yang juga merupakan filem keempat dari alam sinematik polis Shetty.

Selain itu, Akshay bakal muncul di layar perak dengan watak lelaki yang dirasuk hantu wanita menerusi filem komedi seram "Laxmmi Bomb". Filem itu turut menampilkan aktres Kiara Advani sebagai peneraju wanita utama.

Filem yang seterusnya adalah sebuah filem bertemakan sejarah tentang kehidupan Raja Prithviraj Chauhan berjudul "Prithviraj" terbitan Aditya Chopra.

Pada 2021 pula, Akshay akan dilihat dalam tiga buah filem yang kini dalam proses penggambaran iaitu "Atrangi Re", "Bachchan Pandey" dan "Bell Bottom".

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: My Nation)