Genre aksi memang tidak asing lagi bagi aktor Bollywood, begitu juga dengan Akshay Kumar yang sememangnya sudah serasi dengan filem-filem aksi sejak menapak dalam industri lebih dua dekad lalu.

Selepas muncul dalam lima buah filem yang rata-ratanya pecah panggung pada tahun lalu, Akshay bakal kembali beraksi dalam sebuah filem aksi polis berjudul "Sooryavanshi" arahan dan terbitan Rohit Shetty.

Menurut Akshay, antara faktor yang menyebabkan dia bersetuju untuk membintangi filem berkenaan adalah kerana berpeluang untuk memakai pakaian seragam polis.

"Saya mempunyai satu minat mendalam dan rasa hormat terhadap pakaian seragam memandangkan bapa saya juga pernah menyertai tentera. Saya sering melihat dia berbangga berpakaian seragam.

"Dalam "Sooryavanshi", saya berpeluang untuk menjayakan filem aksi tegar yang komersial. Ia mengingatkan saya semula kepada jenis-jenis aksi yang saya lakukan bertahun-tahun dahulu.

"Tiada siapa yang lebih layak untuk membawa filem ini selain Rohit Shetty. Apabila dia menawarkan filem ini kepada saya, saya berasa sangat teruja dapat menjadi sebahagian dari alam sinematik polisnya," ujar Akshay yang dipetik dari Times of India.

Seperti sedia maklum, "Sooryavanshi" merupakan filem keempat dalam alam sinematik polis Shetty selepas "Singham" (2011), "Singham Returns" (2014) dan "Simmba" (2020).

Filem yang bakal menyusul selepas "Sooryavanshi" adalah "Singham 3". Ia dijangka untuk ditayangkan pada 2022.

"Sooryavanshi" bakal menggegarkan pawagam bermula 24 Mac ini!

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Rohit Shetty Picturez Instagram)