Akshay Kumar dan Jagan Shakti sewaktu mempromosikan "Mission Mangal".

Pengarah Jagan Shakti telah selamat menjalani pembedahan pada Isnin selepas disahkan mempunyai darah beku di otak dan kos rawatannya telah dibiayai oleh bintang terkemuka Akshay Kumar.

Sebelumnya, difahamkan Shakti jatuh pengsan ketika menghadiri sebuah majlis pertemuan semula bersama rakan-rakannya. Dia kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital di Mumbai untuk rawatan lanjut.

"Akshay sangat rapat dengan setiap pengarah yang pernah bekerjasama dengannya dan sentiasa bermurah hati untuk membantu mereka dengan cara apa sekali pun.

"Dia terkejut apabila mendapat tahu mengenai perkara ini dan terus berangkat ke sana bersama kumpulan produksinya dan menyuruh mereka memberitahu keluarga Shakti yang dia akan menanggung semua kos rawatan," dedah sumber.

Menurut pembikin filem R. Balki, keadaan Shakti kini berada dalam keadaan stabil. Shakti telah membuat debut di bangku pengarah menerusi filem "Mission Mangal" yang turut dibintangi Akshay.

"Mission Mangal" yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Vidya Balan, Taapsee Pannu, Sonakshi Sinha, Kirti Kulhari dan Nithya Menen, telah meraih kutipan pecah panggung selepas ditayangkan pada tahun lalu.

(Sumber: Zoom TV Entertainment)
(Sumber artikel: Hindustan Times)