Baru-baru ini sebuah portal hiburan telah melaporkan bahawa aktor Akshay Kumar dan pembikin filem Rohit Shetty kini bermasam muka di set penggambaran filem "Sooryavanshi".

Perkara itu disebabkan oleh ketidaksefahaman dan perselisihan pendapat yang berlaku di antara kedua-dua individu berkenaan hingga masing-masing tidak bertegur.

Tambahan lagi, penerbit Karan Johar turut dikatakan terlibat dan terpaksa menjadi orang tengah kepada mereka berdua untuk menyampaikan sebarang pesanan dan memastikan projek itu siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, laporan dari Mashable India menyatakan Akshay dan Rohit telah menafikan perkara itu dengan memuat naik sebuah rakaman video lucu di laman Twitter, yang mana melihat mereka sedang bergaduh di set tersebut.

Rakaman itu bermula dengan aktres Katrina Kaif, yang turut membintangi "Sooryavanshi", menunjukkan berita palsu berkenaan disusuli dengan lakonan pergaduhan antara Akshay dan Rohit yang cuba dihentikan oleh kru produksi.

"Sooryavanshi" merupakan filem keempat daripada alam sinematik polis Rohit, yang termasuk "Singham", "Singham Returns" serta "Simmba" lakonan Ajay Devgan dan Ranveer Singh.

Kedua-dua aktor itu dilaporkan akan turut membuat penampilan 'cameo' menerusi "Sooryavanshi", yang dijangka untuk ditayangkan pada 27 Mac 2020.

(Sumber foto: Amazon & Filmibeat)
(Sumber artikel: Mashable India)