Bintang Bollywood Akshay Kumar telah memfailkan saman sebanyak Rs 500 Crore (hampir RM300 juta) terhadap seorang YouTuber berasal dari Bihar kerana mengaitkan namanya dengan kes kematian aktor Sushant Singh Rajput.

Notis undang-undang itu telah dikeluarkan oleh firma undang-undang IC Legal Advocate and Solicitor pada 17 November, menyatakan Akshay telah menemui beberapa video di saluran YouTube FF News yang memfitnahnya pada Ogos lalu.

"Klien kami (Akshay) menyatakan bahawa dia telah mengalami penderitaan trauma mental dan kerugian besar, termasuk kejatuhan reputasi susulan video-video fitnah yang ingin mengaut publisiti murahan itu.

"Sehubungan dengan itu, klien kami telah memberi jumlah Rs 500 Crore," tulis firma undang-undang itu dalam satu kenyataan yang dipetik dari Times of India.

Difahamkan saluran YouTube itu dimiliki oleh Rashid Siddiqui, yang telah menerima notis undang-undang itu dan sedang menyediakan maklum balas.

Terdahulu, Siddiqui turut menjadi sasaran Polis Mumbai susulan kes fitnah CM Uddhav Thackeray serta anaknya Aditya, dan diminta untuk memadam video-video berkaitan di saluran YouTube tersebut.

Buat masa ini, kes kematian Sushant masih berada dalam siasatan Biro Siasatan Pusat India (CBI) selepas aktres Rhea Chakraborty, yang juga teman wanita Sushant, dibebaskan dengan ikat jamin.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Economic Times)