Bintang veteran Amitabh Bachchan menulis sebuah blog mengenai kerinduannya terhadap para peminat yang sering membanjiri banglo mewahnya di Mumbai setiap hujung minggu sejak 30 tahun lalu sampai sekarang untuk bertemu bintang pujaan mereka.

Walau bagaimanapun, menurut laporan dari Mid-Day, perkara itu tidak dapat diteruskan susulan Perintah Berkurung di India untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

"Hari Ahad tidak lagi bermakna seperti sebelumnya. Menanti masanya untuk tiba, pengawal keselamatan bersedia, bunyi papan pemijak yang diheret ke tempatnya.

"Bunyi sorakan di pagar setiap kali penduduk tempatan memasuki dan meninggalkan premis ini apabila mereka sedia tahu akan kedatangan 'dia'," tulisnya di blog tersebut.

Tambahan lagi, Bachchan turut menggambarkan wajah-wajah gembira para peminatnya sambil merakam detik-detik mereka bertemu dengannya di halaman rumah banglo yang bernama Jalsa itu.

Sebagai langkah keselamatan, Bachchan telah menasihatkan para peminatnya agar tidak datang ke Jalsa seperti biasa, serta meminta mereka untuk mengambil langkah berjaga-jaga pada ketika ini.

Baru-baru ini, Bachchan telah meraikan ulang tahun ke-12 penulisan blog miliknya di Instagram. Bintang filem "Badla" itu tidak terlepas untuk memberi ucapan penghargaan kepada para peminat kerana terus menyokong karyanya.

Bachchan sememangnya terkenal dengan karya penulisannya yang merangkumi puisi-puisi bermakna dan mendalam. Terbaru, dia turut memuat naik puisi-puisi berkenaan wabak Coronavirus di laman sosial.

Dalam perkembangan lain, Bachchan sedang berehat dari penggambaran beberapa buah filem yang ditangguhkan produksinya akibat pandemik COVID-19 iaitu "Butterfly", "Gulabo Sitabo", "Jhund", "Chehre", "Uyarndha Manithan" dan " AB Aani CD".

(Sumber: Mid-Day)
(Sumber foto: Amitabh Bachchan Instagram)