Sekian lama filem "Aankhen 2" ditangguhkan, akhirnya pembikin filem Anees Bazmee mengesahkan skrip telah disiapkan dan akan dibintangi oleh aktor veteran Amitabh Bachchan sebagai watak utama.

"Skrip "Aankhen 2" sudah pun disediakan dan sedang mencuba untuk menghasilkan sesuatu. Penerbit-penerbit saya sedang bekerja keras.

"Kami telah mengambil masa lama untuk membikin skrip dan ada beberapa kerja yang masih belum selesai. Amitabh Bachchan telah pun menandatangani projek ini dan kami akan mula mencari barisan pelakon lain untuk diuji bakat. Kami akan hasilkan filem ini," katanya.

Filem pertama "Aankhen" ditayangkan pada tahun 2002 dan dibintangi oleh Amitabh, Akshay Kumar, Arjun Rampal, Sushmita Sen dan Paresh Rawal.

Seperti yang dilaporkan menerusi Eastern Eye, ia adalah salah sebuah filem yang berjaya mendapat kutipan tinggi pada tahun tersebut.

Dalam pada itu, Amitabh yang juga dikenali sebagai Big B, mempunyai beberapa buah filem lagi dalam tangan seperti "Brahmastra", "Chehre", "Gulabo Sitabo" dan "Jhund".

Selain itu, dia turut membuat penampilan 'cameo' menerusi filem sejarah dwibahasa yang dinanti-nanti ramai berjudul "Sye Raa Namsimha Reddy" yang akan dirilis pada 2 Oktober ini.

Amitabh juga diumumkan menerima Anugerah Dadasaheb Phalke pada Selasa, atas penglibatannya dalam industri filem Bollywood selama dua generasi.

(Sumber foto: Filmibeat)

(Sumber artikel: Eastern Eye)