Tahun 2020 menyaksikan pemergian ramai bintang-bintang Bollywood, termasuk penari legenda Saroj Khan yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Julai lalu.

Sebagai tribute kepada Saroj, pengarah Remo D'Souza sudah pun merancang untuk menghasilkan sebuah filem biopik mengenai penari legenda itu seperti mana yang pernah diluahkan suatu ketika dulu.

Bintang Bollywood Madhuri Dixit yang sememangnya terkenal dengan bakat tariannya menjadi pilihan utama untuk menggalas watak Saroj Khan dalam biopik tersebut.

Walau bagaimanapun, masih ada kekosongan bagi watak primadona Sridevi yang juga banyak bekerjasama dengan Saroj selama berkecimpung dalam dunia Bollywood.

Sehubungan dengan itu, anak kepada Saroj, iaitu Sukaina mencadangkan bahawa aktres paling layak untuk membawa watak Sridevi adalah anak mendiang primadona itu sendiri, Janhvi Kapoor.

"Saya akan berasa sangat kecewa jika Madhuri tidak dapat berlakon dalam filem ini. Namun ada seseorang yang boleh bawa watak Sridevi – anaknya Janhvi. Dia sangat mirip dengan ibunya.

"Akan ada tiga hingga empat orang heroin menjayakan jalan cerita ini, mengisahkan perjalanan hidup mereka bersama ibu saya dalam lingkungan usia yang berbeza-beza.

"Tak lupa juga ibu saya pernah bekerjasama dengan Ananya Panday, Sara Ali Khan dan Tara Sutaria dalam tempoh terdekat sebelum ini," katanya yang dipetik dari Times of India.

Setakat ini, skrip filem itu masih belum dilengkapkan memandangkan Remo masih perlu mendapatkan keizinan daripada Sukaina bagi memastikan jalan ceritanya selari dengan kehidupan sebenar Saroj.

(Sumber foto: Telly Masala & NY Times)