Pengarah Anand Gandhi mendedahkan bahawa dia bakal membikin sebuah projek filem baru yang berlatarbelakangkan sebuah pandemik berjudul "Emergence".

Menurut Gandhi, melihat situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini, maka projek filem tersebut akan menjadi keutamaannya.

"Sudah lama saya menulis sebuah skrip mengisahkan pandemik. Projek ini telah berada dalam perancangan selama lima tahun. Ia telah ditunda atas beberapa sebab, tetapi kini ia menjadi keutamaan saya.

"Filem ini lebih mencabar berbanding filem-filem lain yang pernah saya hasilkan, jadi sebab itu ia mengambil masa lama untuk ditulis. Saya tahu projek ini akan memakan masa untuk disiapkan," katanya yang dipetik dari Times of India.

Memandangkan dia membikin filem yang berdasarkan subjek sains, Gandhi menganggap ia suatu perkara yang mencabar untuk memastikan jalan ceritanya mudah difahami para penonton.

Tambah pengarah filem "Ship of Theseus" itu lagi, dia turut menemui beberapa orang saintis dan ahli epidemiologi, termasuk Larry Brilliant untuk dijadikan sumber rujukan.

Malah, ahli epidemiologi terkenal dari Amerika Syarikat itu turut diangkat sebagai penerbit eksekutif filem "Emergence".

"Dia merupakan seorang ahli epidemiologi yang hebat. Saya beruntung kerana dapat bertemu dan berkongsi idea dengannya. Dia menyukai idea saya dan secara tidak langsung dia menjadi penerbit esksekutif," katanya.

Biarpun filem itu berkaitan dengan pandemik, namun Gandhi tidak mahu menyatakan krisis COVID-19 yang sedang berlaku memandangkan ia sudah sedia ada dalam fikiran orang ramai.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: IMDb, Scientific American)