Menerusi rancangan bual bicaranya, "What Women Want", aktres Bollywood Kareena Kapoor Khan memberi ruang kepada para selebriti jemputannya untuk berkongsi isu berkaitan industri perfileman atau hal peribadi.
Baru-baru ini, aktor dan penerbit Anil Kapoor serta pengarah Anurag Kashyap telah hadir sebagai tetamu jemputan, namun kali ini mereka berinteraksi menerusi panggilan video.

Topik yang dibicarakan dalam episod itu agak menarik memandangkan ia menyentuh tentang kesaksamaan jantina dan sejauh mana industri Bollywood berlaku adil terhadap para pelakon wanita.
Kareena menyatakan bahawa segelintir pelakon lelaki di Hollywood enggan menerima sesebuah tawaran filem jika bayaran mereka sama nilainya dengan pelakon wanita.

Namun apabila Kareena bertanyakan apakah pendapat Anil terhadap isu itu, dia menerima jawapan tidak dijangka berhubung filem lakonannya “Veere Di Wedding” (2017) terbitan Anil.
“Dia (Kareena) telah meminta bayaran yang lebih tinggi dari hero filem itu dan saya kata, berikan sahaja pada dia. Mereka ada juga menghubungi saya berkenaan rundingan itu.

“Saya beritahu mereka, beri sahaja apa yang Kareena mahukan,” kata Anil yang membuatkan Kareena terpinga-pinga dan hanya mampu ketawa.
Selain Kareena “Veere Di Wedding” turut dibintangi Sonam Kapoor Ahuja, Swara Bhaskar dan Shikha Talsania sebagai watak utama. Difahamkan sekuel filem itu terpaksa ditunda akibat COVID-19.



(Sumber foto: Anil Kapoor Instagram & Films Affinity)