Aktor veteran Anil Kapoor menentang sekeras-kerasnya serangan keganasan terhadap penuntut-penuntut Universiti Jawaharlal Nehru (JNU), New Delhi, yang berlaku pada Ahad lalu.

"Ia sepatutnya dikecam. Saya berasa sedih dan terkejut. Apa yang saya lihat sangat mengerikan. Malah tidur saya pada malam itu terganggu kerana memikirkan apa yang berlaku di sana.

"Kita tidak akan dapat apa-apa jika kita terus menggunakan kekerasan dan keganasan. Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini patut dihukum," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.

Anil bercakap mengenai perkara itu ketika hadir ke majlis pelancaran treler filem "Malang" bersama aktor Aditya Roy Kapur dan pengarah Mohit Suri, pada Isnin.

Setiausaha Umum Parti Komunis India, Sitaram Yechury, mendakwa salah satu kumpulan pelajar itu membabitkan pertubuhan pelajar yang ada kaitan dengan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Menurut laporan media, lebih kurang 34 orang cedera parah selepas sekelompok besar penyerang bertopeng bersenjatakan tukul dan batang besi menyerbu kampus tersebut.

Mangsa yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah, kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. Ketua Kesatuan Pelajar JNU, Aishe Ghosh, turut mengalami luka selepas dahinya ditoreh senjata tajam.

(Sumber foto: Super Stars Bio)
(Sumber artikel: Hindustan Times)