Susulan negara India melaksanakan Perintah Berkurung, aktres Ankita Lokhande menegaskan supaya orang ramai sentiasa patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam situasi krisis ini.

"Kita semua sedang berdepan masalah. Saya juga sama, dan ia sangat sukar kerana saya sebenarnya berasa sangat takut dengan situasi ini.

"Saya ada nampak segelintir orang yang keluar rumah dan tidak mengendahkan perintah ini. Malah saya ada melihat video-video segelintir orang bercakap buruk mengenai perkara ini.

"Sebagai seorang rakyat India, ia adalah tanggungjawab saya. Orang ramai mengikuti perkembangan saya, mereka ingin tahu perasaan saya. Ini adalah kali pertama saya bersikap terbuka untuk bercakap mengenai perkara ini.

"Ia sangat penting. Bukan sahaja peminat saya akan terjejas jika mereka keluar rumah, tetapi juga setiap warganegara India dan keluarga saya. Itu perkara utama yang berada dalam fikiran saya," katanya menerusi laporan Hindustan Times.

Menurut laporan lagi, bangunan kediaman Ankita di Mumbai telah dikawal ketat oleh pihak berkuasa memandangkan terdapat salah seorang penduduknya yang baru pulang dari Itali disahkan positif COVID-19.

Kali terakhir Ankita dilihat berlakon adalah menerusi filem aksi "Baaghi 3" yang diterajui aktor Tiger Shroff. Filem arahan Ahmed Khan itu telah ditayangkan pada awal Mac lalu dan berjaya meraih kutipan pecah panggung.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Ankita Lokhande Instagram)