Gara-gara perdebatan tentang isu nepotisme bagaikan tiada kesudahannya, pengarah dan penerbit Anubhav Sinha akhirnya membuat keputusan drastik untuk mengundur diri dari dunia Bollywood.

Pengarah berusia 55 tahun itu mendedahkan sendiri berita mengejutkan berkenaan persaraannya menerusi laman Twitter, dengan mengatakan yang dia sudah tidak tahan lagi dengan industri tersebut.

"Cukup!!! Dengan ini saya tarik diri dari Bollywood. Atau apa sahaja maksudnya," tulisnya dengan ringkas dan lantang.

Sehubungan dengan itu, Anubhav turut menukar nama pengguna Twitternya ke Anubhav Sinha (Not Bollywood).

Kenyataannya disokong oleh pengarah Sudhir Mishra yang memberitahu dia menceburi industri itu kerana mendapati inspirasi daripada beberapa selebriti seperti Raj Kapoor, Guru Dutt, Hrishikesh Mukherjee, Vijay Anand dan Javed Akhtar.

"Saya tak tahu mengapa saya datang dalam industri ini. Saya hanya ingin bikin filem. Baru sekarang saya dapat fikirkan sebabnya," tambahnya lagi.

Anubhav yang dikenali dengan keberaniannya untuk bersuara lantang di media sosial itu jelas menggambarkan kemarahan apabila sesetengah media hanya mengenalinya sebagai pengarah Taapsee Pannu dalam filem "Thappad".

"Dan mungkin sebab itu juga sesetengah pelakon mula mempercayai yang nama mereka lebih terkenal daripada filem-filem yang dibintangi mereka," balas Taapsee.

Ramai pengguna media sosial merayu supaya dia menarik balik keputusannya dan teruskan berkarya serta membikin filem-filem Hindi dalam industri perfileman India.

Untuk rekod, Anubhav yang memulakan kerjayanya sebagai seorang jurutera, beralih arah ke bidang pengarahan untuk beberapa stesen televisyen sebelum mengarah filem cereka pertamanya "Tum Bin" (2001).

Kerjayanya sebagai pembikin filem diteruskan lagi apabila dia bertindak sebagai pengarah, penerbit dan penulis untuk filem-filem besar seperti "Ra.One" (2011) lakonan Shah Rukh Khan, "Mulk" (2018) dan "Article 15" (2019).

(Sumber: Anubhav Sinha Twitter)
(Sumber foto: Anubhav Sinha Instagram)