Aktres Anushka Sharma mengumumkan bakal terlibat dengan projek terbarunya iaitu sebuah siri web berjudul "Mai" yang akan ditayangkan di platform penstriman video popular Netflix.

Menurut laporan dari Filmfare, siri web itu diterbitkan di bawah syarikat produksi milik Anushka sendiri, Clean Slate Films. Anushka dan Karnesh Sharma akan bertindak sebagai penerbit eksekutif bagi siri tersebut.

"Ini merupakan kali kedua kolaborasi saya bersama Netflix selepas "Bulbul" dan kami ingin menghasilkan kandungan yang pelanggan mahu tonton.

"Kami di Clean Slate Films berdedikasi untuk menerbitkan kisah-kisah yang luar biasa dan menarik sejak karya pertama kami diterbitkan," ujar Anushka dalam sebuah kenyataan media.

Tambahnya lagi, dia amat teruja dapat menggunakan kebebasan kreativiti untuk membawa kisah sebegitu ke skrin dan ditonton secara global.

"Mai" berkisar mengenai seorang wanita berusia 47 tahun, Sheel, yang mendapati dirinya terlibat dengan dunia penuh kekejaman apabila dia telah membunuh seorang ketua mafia secara tidak sengaja.

Ditulis oleh Atul Mongia, Tamal Sen dan Amita Vyas, Anushka menganggap ia sebagai satu projek penting bersama Netflix sebagai rakan kongsi.

Sebelumnya, Anushka dilihat tidak melibatkan diri dengan sebarang filem sejak membintangi filem "Zero" pada Disember tahun lalu.

Aktres itu turut menggunakan peluang itu untuk berehat seketika serta meluangkan masa pergi bercuti bersama suaminya Virat Kohli.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Filmfare)
(Sumber foto: GQ India)