Bintang Bollywood Anushka Sharma dan suaminya yang juga kapten pasukan kriket India, Virat Kohli bakal menambah bilangan ahli keluarga mereka dengan kelahiran cahaya mata pertama pada Januari 2021.

Biarpun kedua-duanya sudah biasa dengan kehidupan sebagai selebriti dan hidup dalam populariti, namun pasangan itu membuat keputusan untuk tidak mendedahkan tumbesaran anak mereka di media sosial.
“Saya rasa ia adalah keputusan yang anak kita mampu terima. Tiada kanak-kanak yang lahir untuk dijadikan lebih istimewa daripada yang lain.
“Cukuplah kami yang dewasa ini berdepan dengannya. Tidak dinafikan ia akan menjadi perkara yang sukar, tetapi kami akan ikutkan sahaja,” kata Anushka yang dipetik dari Pinkvilla.

Dalam pada itu, Anushka turut mendedahkan bahawa dia dan Virat kini sibuk membuat dekorasi bilik bayi mereka, yang mana tema haiwan menjadi pilihan kerana mereka sangat sayangkan haiwan.
Baru-baru ini, pasangan itu dilihat berada di Juhu untuk melihat pangsapuri mereka yang baru dibeli selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik sebanyak dua kali.

Terdahulu, Anushka memberitahu dia akan berehat selama beberapa bulan selepas bersalin dan akan kembali ke dunia seni pada Mei 2021.

(Sumber foto: Anushka Sharma Instagram)