Selepas menjayakan filem "Chhapak" lakonan Deepika Padukone, penulis skrip Atika Chohan merancang untuk menulis skrip bagi sebuah filem yang mengangkat kisah peperangan Indo-Pakistan.

"Saya kini sedang menulis filem Perang Indo-Pakistan. Ia masih dalam proses pembikinan dan akan mengambil tempoh yang panjang untuk disiapkan sebelum produksi bermula.

"Ia merupakan sebuah projek yang menarik. Kami akan melakukan banyak penyelidikan. Ya, ia memang projek yang agak berat untuk dijayakan," ujarnya yang dipetik dari The Indian Express.

Antara filem Bollywood yang pernah mengetengahkan kisah peperangan bersejarah itu ialah "Border" (1997), "Gadar: Ek Prem Katha" (2001), "Raazi" (2018) dan "Uri: The Surgical Strike" (2019).

Filem "Chhapaak" arahan Meghna Gulzar yang diriliskan pada 10 Januari lepas merupakan inspirasi dari kisah benar mengenai mangsa serangan asid Laxmi Agarwal yang ingin membina semula kehidupannya.

Selain Deepika, filem itu turut membariskan aktor seperti Vikrant Massey, Madhurjeet Sarghi, Anand Tiwari, Vaibhavi Upadhyaya, Payal Nair dan ramai lagi.

Beralih ke perkembangan lain, penulis skrip itu sedang menanti dua projek terbarunya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, iaitu filem Netflix "Guilty" yang menampilkan aktres Kiara Advani dan "Agra".

(Sumber: The Indian Express)
(Sumber foto: Live Mint)