Aktor versatil Bollywood Ayushmann Khurrana berjaya melakar sejarah hidupnya apabila menjadi aktor dan pemuzik termuda yang tersenarai dalam 100 Individu Paling Berpengaruh TIME 2020.

Berita gembira itu telah diumumkan menerusi laman web rasmi TIME, berserta sedikit butiran mengenai Khurrana seperti yang dikongsikan oleh rakan selebritinya dan aktres Deepika Padukone, pada Rabu.

Menurut Deepika, Khurrana merupakan seorang aktor yang berani mencabar tanggapan stereotaip masyarakat menerusi pilihan-pilihan filemnya, sekaligus memberi impak besar dengan filem dan watak ikoniknya.

Tiada apa yang boleh digambarkan oleh tuan empunya badan selain rasa berbesar hati dan teruja kerana menerima pengiktirafan bertaraf antarabangsa sebegitu.

"Saya sangat berbesar hati dengan pengiktiran yang TIME berikan kepada saya. Sebagai seorang artis, saya hanya akan menyumbang terhadap perubahan yang positif dalam masyarakat menerusi filem.

"Jadi inilah detik yang memberi pengesahan terhadap kepercayaan dan perjalanan saya. Saya percaya bahawa filem mempunyai kuasa untuk mengubah sesuatu dengan perbualan yang betul dalam kalangan masyarakat.

"Saya berharap dengan pilihan kandungan saya, saya mampu untuk menyumbang kepada negara saya dan para penduduknya," ujar Khurrana dalam satu kenyataan yang dipetik dari India Times.

Untuk rekod, nama Khurrana mula menyinar di industri Bollywood setelah dia ditawarkan untuk membintangi filem "Vicky Donor" arahan Shoojit Sircar yang berjaya meraih kutipan pecah panggung secara global.

(Sumber: India Times)
(Sumber foto: India Words)