Terkenal dengan menjayakan pelbagai jenis watak dalam filem-filemnya, aktor versatil Ayushmann Khurrana memberitahu dia tidak bersikap selektif dalam memilih tawaran dan merupakan seorang yang mudah untuk didekati.

"Saya percaya bahawa filem seorang pengarah baru mampu meraih kutipan tinggi dan filem seorang pengarah terkenal juga boleh gagal.

"Saya sentiasa bersikap terbuka kepada idea dan orang-orang baru. Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan idea yang bernas," kata Ayushmann yang dipetik dari Hindustan Times.

Dalam pada itu, Ayushmann berpendapat bahawa adiknya Aparshakti juga layak untuk memegang watak utama setelah melihat bakat dan kemampuan aktor tersebut.

Buat pengetahuan umum, Aparshakti pernah bekerja sebagai seorang hos rancangan bual bicara radio sebelum beralih arah untuk mengikut jejak langkah abangnya dalam bidang lakonan.

"Agak sukar untuk menjadi aktor dan menarik perhatian orang ramai. Aparshakti telah melakukan yang terbaik dalam filem-filemnya dan saya rasa dia layak untuk menjadi watak utama

"Dia juga seorang yang peramah dan mempunyai kelebihan dalam Perhubungan Awam, berbanding saya yang mengambil masa untuk bergaul. Kawannya juga lebih ramai daripada saya," tambahnya lagi.

Sebelumnya, Aparshakti telah menjayakan beberapa buah filem seperti "Dangal", "Stree", "Lukka Chuppi", "Happy Phirr Bhag Jayegi" dan yang terbaru, "Pati Patni Aur Woh".

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Ayushmann Khurrana Twitter)
(Sumber artikel: Hindustan Times)