Aktor Ayushmann Khurrana mengecam tindakan orang ramai yang bertindak menyerang pihak polis dan pengawal keselamatan yang mengawasi negara India sewaktu Perintah Berkurung dilaksanakan.

"Saya sangat kecewa apabila membaca tentang serangan terhadap pihak polis dan pengawal keselamatan yang berlaku di serata negara.

"Pihak polis berkorban nyawa setiap hari demi memastikan kita, keluarga serta rakan-rakan kita selamat dan saya mengecam serangan terhadap mereka.

"Mereka mengutamakan keselamatan kita dari diri mereka sendiri dan kita sepatutnya menghormati bagaimana mereka berjuang untuk melindungi kita semua," tulisnya di laman Twitter.

Tambah aktor filem "Bala" itu lagi, dia berharap agar semua rakyat India meraikan pihak polis dan menghormati perjuangan mereka.

Baru-baru ini, kerajaan India telah melanjutkan tempoh Perintah Berkurung yang bermula pada 25 Mac lalu sehingga 3 Mei sebagai usaha untuk membendung dan memutuskan rantaian penyebaran wabak COVID-19.

Beralih ke perkembangan lain, Ayushmann bakal tampil bersama bintang veteran Amitabh Bachchan dalam filem komedi arahan Shoojit Sircar berjudul "Gulabo Sitabo".

Pada asalnya filem itu dijadual untuk dirilis pada 17 April ini namun situasi pandemik yang tidak mengizinkan menyebabkan pihak produksi terpaksa menundanya ke tarikh baru yang bakal diumumkan kelak.

(Sumber: Ayushmann Khurrana Twitter)
(Sumber foto: Brand Equity)