Sejak bintang Bollywood Varun Dhawan dilaporkan sudah mengikat tali pertunangan dengan teman wanitanya, Natasha Dalal, spekulasi tentang perkahwinan mereka semakin digembar-gemburkan.

Memetik laporan dari Times of India, difahamkan Natasha, yang juga seorang pereka fesyen, telah pun menyediakan rekaan gaun pengantinnya di bawah jenama tersendiri iaitu Natasha Dalal Label.

Jenama itu sememangnya terkenal dengan busana pengantin yang menakjubkan, maka tidak hairan jika dia membuat keputusan untuk menghasilkan rekaan gaun hari bahagianya sendiri.

Setelah rancangan majlis perkahwinan mereka tertunda pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19, kini pasangan itu telah membuat keputusan untuk melangsungkan majlis mereka pada 23 dan 24 Januari ini.

Majlis itu akan berlangsung di Alibaug, India, dan hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat serta mengikut protokol yang ditetapkan demi menjaga keselamatan tetamu yang hadir. Secara tidak langsung, ia menjadikan Varun sebagai bintang Bollywood pertama yang akan berkahwin pada tahun ini.

Pasangan Varun dan Natasha mula mengenali sesama sendiri sejak zaman persekolahan sebelum perasaan cinta di antara mereka berputik.

Dalam perkembangan kariernya, Varun dilihat membintangi filem komedi romantik “Coolie No. 1” bersama aktres Sara Ali Khan yang ditayangkan menerusi platform digital.

(Sumber foto: Varun Dhawan Instagram)