Selepas menjayakan filem komedi "Bala" dan "Pati Patni Aur Woh", kini aktres Bhumi Pednekar bersedia untuk melangkah ke set penggambaran filem thriller "Durgavati" di Madhya Pradesh pada 14 Januari.

"Bhumi telah membaca skrip bersama pengarah Ashok G. Pasukan produksi akan menjalankan penggambaran di lokasi-lokasi sebenar, termasuk bangunan bersejarah seperti Moti Mahal, Sadar Manzil dan sebuah sekolah perbandaran Oriental Institute of Science & Technology.

"Selain itu, penggambaran juga akan dijalankan di Penjara Bhopal's Old Central, dewan Minto dan kampung Poha Bhata," dedah satu sumber menerusi Mumbai Mirror.

"Durgavati" merupakan sebuah adaptasi versi Hindi bagi filem seram Telugu "Bhaagamathie" yang dibintangi oleh Anushka Shetty dan Jayaram pada 2018.

Ia mengisahkan seorang wanita yang dipenjarakan di dalam sebuah rumah berhantu sementara dia disoal siasat oleh penguatkuasa undang-undang berkenaan ahli politik yang disyaki terlibat dengan rasuah.

Menerusi filem itu, Bhumi akan digandingkan dengan aktor Akshay Kumar buat kali kedua selepas mereka berkolaborasi dalam filem komedi "Toilet: Ek Prem Katha" pada 2017.

Buat masa ini, kumpulan produksi masih dalam perbincangan untuk menetapkan penampilan Bhumi dalam filem di samping mencari barisan pelakon tambahan yang lain.

Dalam perkembangan lain, Bhumi akan membintangi sebuah filem seram terbitan Karan Johar iaitu "Bhoot – Part One: The Haunted Ship" yang akan ditayangkan pada 21 Februari.

Selain itu, dia juga akan tampil menerusi sebuah lagi filem terbitan Karan Johar iaitu "Takht" bersama Ranveer Singh, Vicky Kaushal, Kareena Kapoor, Alia Bhatt, Anil Kapoor dan Janhvi Kapoor.

(Sumber foto: Filmfare)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)