Aktres Bhumi Pednekar memberitahu tempoh Perintah Berkurung yang dilaksanakan merupakan peluang terbaik untuk dia kekal aktif untuk berinteraksi dengan para peminat di media sosial.

"Buat masa ini saya banyak luangkan masa di Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan orang ramai dan berkongsikan aspek-aspek menarik kehidupan seharian saya.

"Sewaktu terlibat dengan mana-mana penggambaran filem, tempoh untuk saya meluangkan masa di media sosial adalah sangat terhad.

"Terutamanya pada beberapa tahun lalu, di mana filem-filem yang saya terlibat adalah sangat mencabar dan untuk betul-betul menghayati sesuatu watak itu, saya perlu menjauhkan diri dari sebarang gangguan lain," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.

Sebelum Perintah Berkurung dilaksanakan, Bhumi telah selesai menjalani penggambaran filem seram thriller "Durgavati" arahan G. Ashok, yang juga 'remake' kepada filem Telugu arahannya "Bhaagamathie" (2018).

Menurut aktres filem "Pati Patni Aur Woh" itu, sehingga kini dia tidak dapat menjangka bila keadaan akan kembali seperti sedia kala untuk dia meneruskan penggambaran bagi dua lagi filem terbarunya, "Badhaai Do" dan "Takht".

"Sudah tentunya semua tarikh dan jadual penggambaran telah menjadi kelam-kabut dan kami tidak dapat merancang apa-apa," katanya.

"Badhaai Do" merupakan sekuel kepada filem "Badhaai Ho" (2018) yang menggandingkan Bhumi bersama aktor Rajkummar Rao, menggantikan pasangan aktor Ayushmann Khurrana dan Sanya Malhotra dalam filem pertama.

"Takht" pula adalah filem aksi sejarah arahan Karan Johar yang menampilkan nama-nama besar Bollywood seperti Kareena Kapoor Khan, Alia Bhatt, Ranveer Singh, Vicky Kaushal dan ramai lagi.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Bhumi Pednekar Instagram)