Aktres Bhumi Pednekar mendedahkan bahawa dia menjalani latihan memahirkan dialek Haryanvi bersama ibunya demi filem terbaru "Saand Ki Aankh".

"Saya ingin kelihatan asli sebaik mungkin untuk membuatkan penonton lupa yang itu saya. Saya ingin mereka mendalami watak yang saya bawakan.

"Untuk "Saand Ki Aankh" saya ingin benar-benar mahir dialek Haryanvi dan saya mendapatkan pertolongan daripada ibu saya semasa penggambaran dan proses alih suara bagi memastikan ia kedengaran asli.

"Ibu bagaikan senjata rahsia saya, bermula dari dialek hinggalah ke bahasa tubuh. Dia juga membuatkan perjalanan filem ini lebih bermakna bagi saya. Tanpa dia, pasti sukar untuk saya lakukannya," ujarnya lagi.

Menurut laporan dari Mid-Day, ibu Bhumi berasal dari Haryana dan mereka mengambil tempoh selama dua bulan bagi menjalankan latihan sebelum memulakan penggambaran.

Menerusi "Saand Ki Aankh", Bhumi membawa watak Prakashi Tomar bersama Chandro, yang dibawakan oleh aktres Taapsee Pannu. Kedua-dua mereka merupakan atlet penembak tertua di dunia.

Diarahkan oleh Tushar Hiranandani, filem "Saand Ki Aankh" akan dirilis di pawagam bermula 25 Oktober ini.

(Sumber foto: Filmfare)
(Sumber artikel: Mid-Day)