Filem "Arth" (1982) merupakan filem klasik Bollywood wajib tonton kerana jalan ceritanya masih relevan untuk masa kini, hingga penerbit Ajay Kapoor dan Sharat Chandra menghasilkan 'remake' filem itu.

"Arth" mengisahkan tentang Pooja yang patah hati apabila mendapat tahu suaminya Inder telah jatuh cinta dengan wanita lain bernama Kavita. Ia diterajui oleh bintang veteran Shabana Azmi, Kulbhushan Kharbanda dan Smita Patil.

Filem yang asalnya diarahkan oleh Mahesh Bhatt itu memberi mesej bahawa seorang wanita tidak perlu bergantung kepada lelaki atau perkahwinan untuk merasakan dirinya selamat dan sempurna.

Bagaimanapun, sumber dari Times of India mengatakan 'remake' yang dihasilkan oleh Ajay dan Sharat akan memberi fokus kepada jalan cerita dari sudut pandang lelaki.

Selain itu, jalan ceritanya juga akan diubah mengikut perkembangan semasa dan merujuk aspek hubungan percintaan yang banyak berubah.

Tahun lalu, aktres Revathi diangkat sebagai pengarah 'remake', di mana dia turut menghasilkan skrip filem tersebut. Malah, ura-ura turut mengatakan Bobby Deol akan memegang watak Kulbhushan Kharbanda.

"Bobby masih belum bersetuju lagi, tetapi kami berharap dia akan bersetuju dengan tawaran ini. Kami berpendapat dialah paling sesuai untuk menggalas watak itu.

"Perancangan kami untuk menghasilkan 'remake' "Arth" berlangsung selama dua tahun dan kami rasa kami sudah bersedia untuk melakukan penggambaran," ujar Revathi.

Dedah mereka lagi, Bobby akan membawa dua penampilan dalam filem itu, iaitu di mana wataknya ditinggalkan oleh Pooja, dan wataknya ketika zaman muda di mana dia berkahwin dengan Pooja dan jatuh cinta pada Kavita.

Dalam pada itu, Sharat turut berpendapat bahawa Revathi adalah pilihan terbaik mereka untuk mengarah 'remake' "Arth", memandangkan dia pernah membintangi 'remake' "Arth" versi Tamil pada 1993.

Menerusi filem yang diberi judul "Marupadiyum" itu, Revathi menggalas watak yang dibawa oleh Shabana Azmi dalam filem asal.

(Sumber foto: Deccan Herald & Wikipedia)