Isu stereotaip dan prejudis dalam industri perfileman Bollywood bukanlah sesuatu yang baru dan aktres Dia Mirza tidak menafikan dia juga pernah menjadi mangsa hanya kerana perbezaan warna kulit.

Bagi bekas juara Miss Asia Pasific International itu, perjalanannya dalam industri Bollywood tidaklah semudah yang disangka ramai kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi untuk mengukuhkan nama.

Menurut Dia, dia pernah ditolak untuk membintangi beberapa projek filem kerana pihak produksi berpendapat warna kulitnya terlalu cerah dan penampilannya terlalu cantik.

"Pada pendapat saya, sebarang stereotaip dan tanggapan yang diramal adalah sesuatu yang tidak baik. Penampilan saya sering menjadi kelemahan bagi kerjaya lakonan saya.

"Saya pernah hilang kerja dan tidak dipilih untuk berlakon hanya kerana saya mempunyai rupa. Ia adalah satu kelemahan yang pelik," katanya yang dipetik dari Mid-Day.

Jelas bintang filem "Sanju" itu lagi, dia sedar akan situasi di mana golongan wanita yang berkulit gelap juga sering berdepan kesukaran dalam industri perfileman sehingga mereka dihadkan untuk meneruskan kerjaya.

"Mungkin saya dianggap tidak bersyukur, tetapi sebab warna kulit inilah saya tidak kurang bernasib baik. Saya sedar wanita berkulit gelap juga berdepan situasi yang sama," katanya.

Dalam perkembangan lain, baru-baru ini Dia telah meraikan ulang tahun ke-20 dia dinobatkan sebagai juara Miss Asia Pasific International menerusi sebuah video yang dikongsikan di laman Instagram.

Selain itu, Dia juga terlibat dengan penggambaran filem aksi thriller Telugu berjudul "Wild Dog" Ashishor Solomon. Filem itu turut dibintangi pelakon lain seperti Nagarjuna, Saiyami Kher dan Atul Kurnani.

(Sumber foto: Dia Mirza Instagram)