Memandangkan tidak pernah diberikan tawaran berlakon dalam filem aksi, aktor dan penyanyi Diljit Dosanjh mengakui bahawa dia berkeinginan untuk mencuba genre itu.

"Rajesh Khannaji, Mehmoodji dan Govinda merupakan idola saya dan saya tidak pernah ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah filem aksi.

"Jika suatu hari saya diberikan tawaran sebegitu dan jalan ceritanya juga bagus, sudah pasti saya tidak akan menolaknya," ujarnya menerusi laporan yang dipetik dari Mid-Day.

Aktor yang berasal dari Punjab itu telah membuat debut dalam industri Bollywood menerusi filem komedi gelap berjudul "Udta Punjab" yang ditayangkan pada 2016.

Selepas itu, dia turut diberi tawaran untuk membintangi beberapa buah filem Hindi yang lain seperti "Phillauri", "Welcome to New York", "Soorma" dan yang terbaru "Arjun Patiala".

Filem "Arjun Patiala" yang turut menampilkan Kriti Sanon dan Varun Sharma, dilaporkan telah berjaya meraih kutipan tinggi sejak hari pertama ia ditayangkan.

Dalam perkembangan terbaru, Diljit akan digandingkan bersama Akshay Kumar, Kareena Kapoor dan Kiara Advani menerusi sebuah filem komedi romantik berjudul "Good News".

Diarahkan buat kali pertama oleh Raj Mehta, filem terbitan Karan Johar dan Akshay Kumar itu bakal ditayangkan pada 27 Disember depan.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Mid-Day)
(Sumber foto: Media Amazon)