Bagi aktres Bollywood Dimple Kapadia, membintangi sebuah karya Christopher Nolan adalah bagaikan mimpi memandankan dia sudah lama meminati dan mengagumi pembikin filem Hollywood tersohor itu.

Bintang filem "Bobby" itu ternyata teruja apabila dipilih untuk membintangi filem aksi thriller Nolan, "Tenet" yang menjadi filem Hollywood pertama ditayangkan di pawagam selepas pandemik melanda dunia.

Biarpun pada asalnya tidak mengetahui berapa lama tempoh 'screen time' atau apa watak yang bakal digalas, namun Dimple tidak menolak peluang keemasan untuk bekerjasama dengan Nolan buat pertama kali.

"Saya terima panggilan untuk uji bakat, yang saya sangkakan panggilan palsu. Kenapa Christopher Nolan mahukan saya untuk filem ini? Saya bukannya siapa-siapa.

"Saya bagitahu anak saudara saya (Karan Kapadia), jangan letak harapan terlalu tinggi," katanya yang dipetik dari Times of India.

Kata ibu mertua kepada Akshay Kumar itu lagi, biarpun tidak yakin untuk menyertai uji bakat memandangkan dia sudah lama tidak terlibat dengan proses itu, namun dia masih ingin mencubanya.

"Selepas saya melakukan uji bakat dan menghantarnya ke produksi di sana, saya diberitahu bahawa Nolan akan datang ke India dan saya diminta untuk melakukan uji bakat bersama Nolan pula," katanya.

Tambah Dimple, dia selesa bekerja di bawah arahan Nolan memandangkan pengarah itu amat profesional dan sentiasa fokus dalam melihat persembahan daripada para pelakonnya di set penggambaran.

Buat makluman lanjut, filem yang menampilkan Robert Pattinson dan John David Washington sebagai watak utama itu turut difilemkan di Mumbai, India.

Dalam perkembangan lain, Dimple akan muncul dalam filem aksi fantasi arahan Ayan Mukherjee, "Brahmastra", bersama bintang-bintang Bollywood lain seperti Amitabh Bachchan, Ranbir Kapoor dan Alia Bhatt.

(Sumber foto: India Times)