Aktres Disha Patani memberitahu dia masih belum ada sebarang perancangan untuk melebarkan sayap ke industri filem Hollywood seperti Priyanka Chopra buat masa ini.

"Saya masih belum fikirkannya kerana saya tidak mempunyai mana-mana ejen untuk menghubungkan saya ke industri filem Hollywood.

"Bagi saya bukan mudah untuk menyertai ujibakat filem Hollywood. Saya juga masih selesa bekerja dalam industri Bollywood memandangkan filem-filem saya berjaya," katanya yang dipetik dari Times of India.

Dalam pada itu, Disha turut mendedahkan impiannya untuk membintangi filem-filem aksi pada masa akan datang serta menerokai kebolehannya untuk menjayakan watak-watak yang belum pernah dibawanya sebelum ini.

Dalam perkembangan baru, Disha kini sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya "Malang" arahan Mohit Suri, bersama aktor gandingannya Aditya Roy Kapur.

Filem aksi romantik terbitan Bhushan Kumar dan Luv Ranjan itu berjaya menerima sambutan menggalakkan sejak ia ditayangkan di pawagam pada 7 Februari baru-baru ini.

Selain itu, Disha juga bakal muncul dalam filem arahan Ashima Chibber berjudul "KTina". Turut membintangi filem itu ialah barisan pelakon seperti Sunny Singh Nijjar, Arjan Bajwa, Vijay Raaz dan ramai lagi.

Tidak lupa juga filem aksi "Radhe: Your Most Wanted Bhai" arahan Prabhu Deva, di mana Disha akan dilihat berkongsi skrin dengan bintang terkemuka Salman Khan.

Filem itu akan ditayangkan pada 22 Mei 2020.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Disha Patani Instagram)